Berita Ampang Jaya

Home

Fikrah & Tazkirah
AJK Kerja PAS Kawasan
Program-Program Terdekat
Berita Ampang Jaya
Kenyataan & Pendapat
Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) Kawasan Ampang Jaya, Selangor D.E.

PAS PRIHATIN TERHADAP MANGSA SALAHGUNA KUASA BN !
fong.jpg
YDP PAS Kawasan, Haji Sarom sedang menyampaikan bantuan kpd YB Fong Po Kuan dari DAP

PAS SENTIASA MENYUMBANG KEPADA MASYARAKAT !
untitled-7.jpg
Dua orang peserta kempen menderma darah anjuran PAS di Ampang Jaya

"JANGAN KERAS KEPALA, BATALKAN MAJLIS ATAU ........" - AJK PAS DIUGUT

Seorang AJK PAS Cawangan Pandan Jaya, En. Shamsuddin Abu Bakar telah menerima ugutan tersebut melalui telefon pada jam 3.30 petang, 28 Disember yang baru lalu.

Majlis yang dimaksudkan itu adalah Majlis Jamuan Hari Raya PAS Kawasan Ampang Jaya 1423 di Pandan Jaya di mana Cawangan tersebut telah menjadi tuan rumah.

Sehubungan itu Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan, Iskandar Haji Abdul Samad bersama Bendahari PAS Kawasan, Haji Meor Rithuan Mohd. Said telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Pandan Indah pada jam 9.45 pagi, 29 Disember 2002

Walau bagaimanapun majlis yang didakan pada jam 2.00 hingga 5.00 petang, 29 Disember itu telah berjalan dengan lancar dan dihadiri oleh masyaraka berbilang kaum.

Di antara pimpinan politik dan NGO yang berucap di majlis tersebut adalah Dr. Haji Md. Hatta Md. Ramli ( AJK Kerja PAS Pusat ), Zulkifli Nordin ( Peguam Dato' Seri Anwar Ibrahim ), Haji Sarom Haji Jais ( YDP PAS Kawasan Ampang Jaya ), Haji Fadzil Abdullah ( YDP JIM Ampang ), Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan ( Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor ), Rusli Dato' Ibrahim ( adik Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Ustaz Raihan Abdul Aziz ( TYDP PAS Kawasan Titiwangsa ).

Turut berucap adalah pimpinan bukan Islam yang hadir iaitu Low Chee Chong ( Naib Ketua Pemuda KeAdilan Kebangsaan ) dan Jack Wong ( Setiausaha DAP Negeri Selangor )

Menurut Setiausaha PAS Kawasan Ampang Jaya, Abdul Jalil Haji Hassan, majlis tersebut berjaya kerana telah dihadiri oleh masyarakat umum termasuk mereka dari kaum Cina dan India. Ini menunjukkan sokongan rakyat di Ampang Jaya kepada PAS dan Barisan Alternatif.    

KISAH BENAR DI AMPANG JAYA

Oleh Ben Kwaleigh, Cheras Indah - 16 Oktober 2002

Pada Ahad malam, 13 Oktober 2002, pemimpin-pemimpin UMNO di Ampang Jaya mungkin sedang tersenyum lebar.

Sebuah ceramah PAS sedang dalam proses di gagalkan. Mungkin mereka begitu gembira dan berpuas hati kerana mereka tidak payah mengerahkan jentera penerangan ataupun pemuda-pemuda untuk menjalankan kerja-kerja kotor itu.

Pada malam itu pihak polis telah mengadakan sekatan di jalan-jalan ke arah Taman Maju Jaya, Ampang Jaya. Semua kenderaan ditahan. Pihak polis telah memberitahu terdapat perhimpunan haram di taman tersebut. Orang-ramai disuruh balik.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sebuah ceramah memang diadakan di taman tersebut. Walau bagaimanapun ceramah oleh Ustaz Haji Ahmad Awang, seorang ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat dan Saudara Iskandar Abu Samad, bekas calon PAS bagi DUN Lembah Jaya diadakan di dalam bangunan.

Kenyataan SUHAKAM bahawa sebarang perjumpaan di dalam bangunan tidak melanggar undang-undang tidak dihiraukan oleh anggota polis yang berkawal. Janji Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt. Azmi Hashim, bahawa sesi-sesi perhimpunan di dalam premis tidak melanggar mana peruntukan undang-undang juga telah tenggelam di dalam kehangatan malam. Akta Polis yang membenarkan ceramah di dalam bangunan juga telah dihumban entah ke mana.

Malah tidak cukup dengan sekatan jalan, setiap penjuru di sekeliling bangunan di mana ceramah diadakan dikawal oleh pihak polis. Penduduk tempatan yang berjalan kaki untuk mendengar ceramah pun dihalau pulang. Maka sudah tentulah ketawa besar pemimpin-pemimpin UMNO itu yang tidak perlu bersusah payah untuk menangkis penerangan-penerangan PAS.

Tetapi kenapa Taman Maju Jaya ? Sepanjang bulan September dan Oktober telah dianjurkan ceramah-ceramah oleh ahli Parlimen PAS di taman lain. Tidak ada sekatan kerana tidak perlu sekatan kerana tidak melanggar undang-undang. Tetapi kenapa perlu dikepung Taman Maju Jaya ?

Pertentangan yang hebat di antara PAS dan UMNO menyebabkan UMNO sudah terlalu nazak di taman itu yang membuat UMNO perlu meminta bantuan luar. Selama ini bendera-bendera PAS yang dipasang kerap hilang entah ke mana. Kain-kain rentang yang dipasang hanya dapat bertahan beberapa hari. Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang dibiayai oleh wang rakyat dijadikan budak suruhan yang setia kepada UMNO.

Pemimpin-pemimpin UMNO Ampang Jaya menyedari zaman IT bukan lagi zaman pemuda tahan lasak. UMNO tidak ada lagi pemuda kerana yang tinggal hanyalah mereka yang sedang menunggu untuk mengaut kontrak-kontrak. UMNO tidak lagi berupaya untuk berhadapan dengan PAS secara gentleman. Oleh itu tidak ada pilihan lain bagi UMNO.

Imej PAS tidak terjejas pada malam itu. Masyarakat sudah faham bahawa PAS seperti penduduk Palestin sentiasa ditekan, sentiasa ditindas. UMNO tidak lagi peduli kepada imejnya. Imej UMNO yang sudah merudum, terus merudum. Tetapi yang paling terjejas adalah imej polis.

Ramai juga yang bertugas malam itu berkata mereka hanya menurut perintah. Mereka hanya mencari rezeki yang halal untuk menyara anak, isteri dan mungkin keluarga di kampung. Mereka tidak terdaya untuk melawan arahan yang telah diberikan. Nampaknya mereka benar-benar ikhlas.

Kalau dulu apabila terdapat kanak-kanak yang berkata hendak menjadi polis bila besar kelak, kawan-kawannya akan memujinya. Ketika itu polis dianggap wira, mempertahankan negara dari serangan pengganas komunis. Tetapi hari ini sekiranya ada kanak-kanak yang berkata hendak menjadi polis maka terdapat kawan-kawannya yang berkata, "Engkau nak jadi UMNO ke ?". Walaupun ini hanyalah gurauan kanak-kanak tetapi pendapat sedemikian dikongsi oleh ramai rakyat Malaysia.

Tidak hairan mereka berpendapat begitu. Setelah Mahkamah memutuskan polis bertindak jahat menahan pemimpin-pemimpin muda KeaAdilan, masyarakat tidak ada pilihan untuk melihat polis sebagai alat kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Ini amat merbahaya sekali. Jika masyarakat tidak menghormati polis maka siapa akan menguatkuasakan undang-undang ? Ditakuti juga masyarakat akan akhirnya tidak akan menghormati undang-undang negara. Tetapi ini bukan salah mereka. Pihak polis mestilah membersihkan imej mereka. Setelah peristiwa "ISA Mala Fide", orang menganggap polis itu UMNO dan UMNO itu polis.

Di Ampang Jaya imej polis teruk terjejas. Seorang konstabel telah dituduh merogol dua orang tahanan warga asing di Balai Polis Ampang. Bukan satu tapi dua dan semuanya pada malam yang sama. Begitu bertenaga anggota polis kita tetapi alangkah baiknya sekiranya tenaga itu digunakan untuk membanteras jenayah.

Walaupun konstabel itu telah dilepaskan oleh hakim kerana hubungan seks itu dikatakan suka sama suka tetapi amat memalukan bagi setiap anggota polis kerana telah berlaku penzinaan di dalam balai polis. Kalau berlaku di dalam pub, disko atau lounge karaoke, masyarakat mungkin tidak akan terkejut. Tetapi berlaku di dalam balai polis. Balai polis yang merupakan nadi kepada segala perancangan untuk membanteras jenayah telah dijatuhkan akan martabatnya.

Sebelum ceramah 13 Oktober, YB Mahfuz pernah dikepung di Ampang Jaya, YB Azmin dikepung, Dr. Hatta dikepung, Allahyarham Presiden dikepung dan Nik Aziz juga dikepung. Tetapi sepanjang bulan September dan Oktober, YB Husam tidak dikepung, YB Abu Bakar tidak dikepung, Dato Tuan Ibrahim tidak kepung dan Ustaz Kamal Ashaari juga tidak dikepung. Ramai menafsirkan pihak polis telah menginsafi akan perbuatan mereka. Maka bolehlah diteruskan dengan kerja-kerja menjaga keamanan dan menangkap penjenayah.

Memang benar, beberapa hari sebelum ceramah di Taman Maju Jaya, telah diumumkan pihak polis berjaya menyelesaikan 30 kes samun di sekitar Ampang.

Tetapi tafsiran itu adalah bagai mimpi di siang hari. Disangka panas hingga ke petang tetapi hujan di tengah hari. Kita sama-sama bersedih dengan ramai yang benar-bernar ikhlas berusaha untuk memastikan negara kita aman dan sejahtera bagi seluruh rakyat Malaysia. Tetapi akibat dari kegilaan UMNO untuk meneruskan kuasa, mereka yang ikhlas ini juga telah terkena akan lumpur-lumpur yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang menyangka dunia ini ana yang punya.

Tepat sekali apabila YB Kerk dari DAP berkata polis telah diperbodohkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Kerk tidak menghina polis. Tetapi pemimpin-pemimpin UMNO yang menghina polis dengan menyuruh mereka melakukan kerja-kerja politik mereka. Mana tidaknya untuk memantau hari keluarga PAS pun UMNO terpaksa menghantar SB. Tidak ada ke lagi ahli-ahli UMNO yang sanggup menghadiri program-program PAS ? Mungkin pemimpin-pemimpin UMNO fikir jika ahli-ahli mereka menghadiri program PAS, mereka akan terus menjadi PAS. Maka terpaksalah SB menjalankan kerja-kerja itu untuk mereka. Sekarang siapa yang menghina polis ? Siapa yang memperbodohkan polis ?

THE POLICE MUST APOLOGISE TO THE PEOPLE OF AMPANG JAYA

Infomedia PAS Kawasan Ampang Jaya, 14th. October 2002 - PAS of Ampang Jaya urge the police to apologise to the people for the inconveniences arising from the roadblocks set up at Taman Maju Jaya and Pandan Indah on the night of 13th October 2002.

Only the residents of Taman Maju Jaya were allowed to enter the area while others were stopped and questioned or asked to turn back.

One of those stopped and questioned by the police was our Timbalan Yang Di Pertua, Saudara Iskandar Abdul Samad. When asked why he was stopped, the police constable on duty informed that there was going to be a "ceramah umum" in the area. Saudara Iskandar protested by telling the police that the "ceramah umum" will be held inside a building and therefore is perfectly legal. On hearing this, Saudara Iskandar was allowed to pass but the roadblocks continued throughout the night.

PAS did organise a "ceramah umum" that night which was inside a building and therefore did not break any law. None of the circumstances under Section 27 of the Police Act (1967) that allows the police to stop a function in a private premise existed that night. The Human Rights Commission Of Malaysia (SUHAKAM) have also clarified that any function within the confines of a building should not considered illegal.

Therefore the action by the police in Taman Maju Jaya was unjustified and unnecessary. The rights of PAS as a legally registered political party were not respected. The rights of the members of PAS guaranteed by the Federal Constitution have also been transgressed.

The traffic jams and tensions caused by the police roadblocks were also unnecessary. There was no need for the presence of the police that night as no law has been violated. It was inexcusable that the public had to endure such inconveniences.

Therefore PAS of Ampang Jaya feel that the police have no other option but to apologise to the public. We also hope that they will not repeat their actions in Taman Maju Jaya as the task to deny PAS from reaching out to the people is usually being carried by the Barisan Nasional. The police should be impartial and not be seen to be aiding the cause of any political party.

KEDATANGAN ABDULLAH BADAWI KE AMPANG JAYA DISAMBUT DENGAN AIR MATA PENIAGA-PENIAGA BUMIPUTERA

Infomedia PAS Kawasan Ampang Jaya, 27 September 2002 - PAS Kawasan Ampang Jaya kesal dengan tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ) merobohkan gerai-gerai peniaga Bumiputera di sepanjang jalan besar Taman Cempaka, Taman Nirwana dan Kg. Pandan. Hampir 30 buah gerai telah dirobohkan pada 24 September 2002.

Pihak kami mempertikaikan tindakan ini kerana :

( 1 ) Walaupun menurut MPAJ gerai-gerai tersebut menyalahi Akta Jalan Dan Perparitan namun tidak semua gerai di jalan dan kawasan yang terlibat telah dirobohkan. Terdapat gerai-gerai yang juga melanggar Akta tersebut tetapi tidak disentuh oleh MPAJ.

Pihak kami tidak menentang usaha MPAJ untuk mempertingkatkan mutu persekitaran kawasan-kawasan yang terlibat tetapi seperti kebanyakan tindakan-tindakan MPAJ, berlaku "pilih-kasih" di dalam operasi perobohan itu.

( 2 ) Notis 7 hari yang diberikan oleh MPAJ kepada para peniaga untuk merobohkan gerai-gerai mereka adalah terlalu singkat memandangkan kebanyakan dari peniaga-peniaga itu telah berniaga di tempat tersebut sejak hampir 10 tahun. Terdapat juga yang telah berada di situ hampir 15 tahun.

Pihak kami sedar bahawa undang-undang perlu dipatuhi namun MPAJ sepatutnya telah bertindak dengan lebih rasional. Penangguhan kepada perobohan itu tidak akan memudaratkan sesiapa.

( 3 ) Ramai di antara peniaga-peniaga melaporkan mereka tidak mendapat tapak perniagaan alternatif. Sepatutnya pihak MPAJ menyediakan tapak-tapak perniagaan kepada peniaga-peniaga tersebut sebelum merobohkan gerai-gerai itu.

Selari dengan hasrat kerajaan untuk menaikkan taraf hidup Bumiputera, peniaga-peniaga Bumiputera sepatutnya diberikan galakkan dan bantuan yang sewajarnya tetapi di dalam hal ini seolah-olah usaha-usaha dilaksanakan untuk memastikan mereka tidak dapat berniaga.

Pihak kami juga difahamkan dari seorang peniaga, tindakan MPAJ ini adalah berhubung rapat dengan lawatan Timbalan Perdana Menteri ( TPM ), YAB Dato' Seri Abdullah Badawi, ke Ampang Jaya pada 5 Oktober depan. TPM dijadualkan berada di Ampang Jaya untuk merasmikan Kompleks Muhibbah di Taman Nirwana dekat Kg. Pandan.

Jalan di mana gerai-gerai tersebut dirobohkan adalah merupakan jalan utama ke Kompleks Muhibbah tersebut. MPAJ pula tidak melancarkan apa-apa operasi perobohan di kawasan-kawasan lain di Ampang Jaya ketika ini. Oleh itu nampaknya kehadiran TPM di Ampang Jaya hanyalah akan membawa kesesangsaraan kepada peniaga-peniaga Bumiputera di Ampang Jaya.

Beliau yang gagal mengangkat martabat Bumiputera di negeri beliau sendiri, Pulau Pinang, kini menjadi penyebab kepada peniaga-peniaga Bumiputera di Ampang Jaya untuk "gulung tikar".

Kepada MPAJ dan mereka yang sepatutnya membela nasib peniaga-peniaga Bumiputera seperti ADUN Pandan, YB Dato' Mad Aris Mad Yusuf, kami juga menggesa agar mereka membuang tabiat suka mengampu pemimpin-pemimpin tertinggi Barisan Nasional tetapi laksanakanlah tanggungjawab mereka sesuai dengan amanah yang telah diberikan oleh rakyat. Utamakanlah kepentingan dan kebajikan rakyat.

UMNO MEMANG PANDAI NAK BUAT DUIT !

13 September 2002 - Beberapa hari yang lepas MB Selangor, Dato' Seri Mohd. Khir Toyo, telah mengumumkan penyelarasan pasar-pasar malam di seluruh negeri Selangor.

Maka dicadangkanlah pakaian dan payung diseragamkan bagi semua peniaga-peniaga pasar malam. Kononnya untuk meningkatkan imej pasar-pasar malam.

Sekali imbas cadangan ini nampak baik. Tetapi apabila diperhatikan pasar-pasar malam di negeri Selangor bukan pakaian peniaga atau payung yang menimbulkan masaalah. Peniaga-peniaga sudahpun berpakaian kemas.

Tetapi kalaupun ada masaalah bukannya kepada pengunjung tetapi kepada penduduk setempat. Masalah kebersihaan selepas pasar malam diadakan yang menjadi masalah utama. Juga kedudukan pasar-pasar malam juga menimbulkan masalah.

Walaupun kerajaan negeri tidak akan mengaku tetapi kebanyakan pasar-pasar malam dianjurkan oleh UMNO Cawangan atau pimpinan UMNO di peringkat Cawangan. Mereka selalunya berselindung di sebalik persatuan-persatuan penduduk atau persatuan-persatuan lain. Kadang-kala persatuan-persatuan penduduk ini tidak wujud atau tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Tetapi pihak berkuasa tempatan tetap meluluskan permohonan untuk mengadakan pasar-pasar malam.

Akibat dari pendapatan yang dapat dipungut dari peniaga-peniaga maka ramailah yang hendak menganjurkan pasar-pasar malam. Akhirnya di tempat yang tidak begitu sesuai dari segi kesebokan lalulintas atau tempat yang kurang luas pun dianjurkan juga.

Tentang kebesihan selepas pasar-pasar malam, janganlah disalahkan para peniaga. Mereka sudahpun membayar "cukai" kepada penganjur. Maka adalah menjadi salah menganjur jika gagal membersihkan sesuatu tempat setelah sesebuah pasar malam. Terdapat banyak kes di mana pembersihan dilakukan dengan tidak sempurna. Maka meranalah penduduk tempatan.

Oleh itu cadangan Khir Toyo tempoh hari tidaklah relevan di dalam usaha untuk meningkatkan imej pasar malam. Tetapi mungkin ramai kroni-kroni yang akan berebut untuk mendapatkan kontrak payung atau pakaian seragam.

Untung sebuah payung mungkin lebih kurang RM 30. Sementara peralatan lain lebih kurang RM 20. Maka jumlahnya RM 50 setiap peniaga. Jika di satu pasar malam terdapat 30 orang peniaga maka RM 1,500 akan diperolehi. Di satu kawasan pula ada 10 pasar malam maka lebih kurang RM 15,000 bagi setiap kawasan. Tetapi mungkin 30% dari peniaga-peniaga ini adalah peniaga yang sama maka jumlah akan diperolehi adalah RM 10,000. Oleh itu bagi seluruh negeri Selangor jika 10 kawasan menguatkuasakan undang-undang ini maka untung bersih bagi kroni adalah RM 100,000.

RM 100,000 mungkin tidak banyak berbadingkan dengan wang Tabung Haji yang lesap tetapi bertapa pandainya UMNO mendapatkan duit untuk kroni-kroninya. Akhirnya yang tersepit adalah peniaga-peniaga !

SOLAT JUMAAT DUA KALI DI KG. CHERAS BARU !

Ampang Jaya, 13 Ogos 2002 - Cerita berikut telah tersebar di sekitar Ampang Jaya sejak beberapa minggu yang lalu. Hanyalah hari ini apabila ianya telah disahkan oleh seorang yang boleh dipercayai maka cerita ini boleh disiarkan secara rasmi.

Peristiwa tersebut telah berlaku di Masjid Nurussaadah, Kg. Cheras Baru, Kuala Lumpur pada 27 Julai lepas.

Khutbah Jumaat yang dibaca oleh khatib bertugas pada hari itu telah menghentam PAS.

Kemudian ketika membaca Al-Fatihah, khatib yang telah juga menjadi imam solat Jumaat telah tersilap membaca Al-Fatihah. Menurut seorang yang hadir beliau telah tertinggal satu ayat di tengah-tengah surah Al-Fatihah.

Walau bagaimanapun beliau telah tetap meneruskan solat tetapi setelah salam meminta orang ramai solat sekali lagi. Beliau telah mengaku bahawa beliau telah tersilap membaca surah Al-Fatihah.

Tetapi kita itu terdapat jemaah telahpun keluar dari masjid dan pulang.

Begitulah balasan Allah SWT ..

FAKTOR INDONESIA UNTUK MERAIH SOKONGAN

28 Ogos 2002 - Pada pilihanraya umum 1964, UMNO dan Perikatan telah berjaya merampas kerusi-kerusi yang dimenangi oleh pembangkang dalam tahun 1959. Kerusi-kerusi PAS dan Front Sosialis telah berjaya dimenangi oleh mereka dengan sekali gus mengurangkan kahadiran pembangkang di Parlimen.

Isu utama yang dimainkan oleh UMNO dan Perikatan ketika itu adalah perlunya rakyat Malaysia bersatu untuk mempertahankan negara yang sedang diancam oleh Indonesia yang dipimpin oleh Presiden Sukarno. Ketika itu Indonesia menentang keras pembentukan Malaysia dan melancarkan Konfrontasi.

Maka oleh itu tidak mustahil faktor "Indonesia" akan sekali lagi dijadikan faktor untuk menyelamat UMNO dan pengganti Perikatan iaitu Barisan Nasional.

Sekarang ini isu sentimen anti-Malaysia di Indonesia menjadi bahan utama berita di negara kita. Walaupun suasana ini memang benar-benar berlaku tetapi janganlah rakyat Malaysia tertipu dengan permainan politik UMNO dan Barisan Nasional di dalam usaha mereka untuk meraih kembali sokongan rakyat.

Mungkin seperti dalam tahun-tahun enam puluhan rakyat akan digesa supaya bersatu untuk mempertahankan maruah negara serta memberi sokongan kepada kepimpinan negara. Walau bagaimana seperti biasa di dalam istilah UMNO, ini bermakna memberi sokongan yang padu kepada UMNO dan kepimpinan mereka. Mereka yang tidak menyokong UMNO atau Barisan Nasional akan dianggap sebagai pengkhianat negara atau menyokong kuasa-kuasa asing.

Sekiranya rakyat Malaysia gagal membaca keadaan yang sebenar ianya akan memberi peluang keemasan kepada Dr. Mahathir dan UMNO untuk menjadi wira. Malah selain dari kejadian-kejadian di Indonesia, Filipina juga tidak berpuas hati dengan layanan buruk ke atas rakyat mereka yang menunggu untuk dihantar pulang. Adalah dilaporkan beberapa orang kanak-kanak telah meninggal dunia.

Maka tidaklah hairan sekiranya kedutaan-kedutaan Malaysia di Jakarta dan Manila akan dibakar oleh perusuh-perusuh dan Dr. Mahathir akan sekali lagi menangis dan mungkin meraung di dalam televisyen memohon sokongan rakyat Malaysia. Kemudian sebulan dua selepas itu, Parlimen pula akan dibubarkan untuk pilihanraya umum yang ke 11.

DENDAM KHIR TOYO KEPADA NIK AZIZ MUNGKIN PUNCA TINDAKAN KHIR TOYO ?

Infomedia PAS Kawasan Ampang Jaya, 3 Ogos 2002 - Pada jam 9.30 malam 2 Ogos 2002, Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ) telah merampas khemah yang di pasang di hadapan Markaz PAS Kawasan Ampang Jaya di Taman Dagang Jaya.

Khemah itu sepatutnya digunakan untuk program "Sepagi Bersama YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat" pada 3 Ogos 2002 yang bertujuan untuk memungut derma bagi sebuah tabung pendidikan.

Tindakan MPAJ itu menimbulkan tandatanya kerana :

1. Terdapat beribu-ribu khemah yang pernah dipasang di Ampang Jaya, sama ada yang mendapat permit atau tidak, tetapi tidak pernah diambil tindakan oleh MPAJ.

2. Sebelum ini khemah-khemah telah didirikan di hadapan markaz tersebut seperti semasa program-program makan malam tetapi tidak pernah diambil tindakan oleh MPAJ.

3. Khemah yang didirikan hanya menutup separuh dari jalan dengan memberi laluan kepada perjalanan trafik.

4. Jalan yang terlibat adalah jalan dalam dengan jalan besar yang berada bersebelahan memberikan laluan alternatif kepada orang ramai.

Oleh itu adalah dipercayai MPAJ tidak bertindak bersendirian.

Kita tentu sudah tahu Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Mohd. Khir Toyo, sedang bersungguh-sungguh untuk menghalang Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dari berucap atau berceramah di Selangor. Malah perintah telah lama dikeluarkan menghalang beliau dari berceramah di masjid dan surau di Selangor.

Maka rakyat tidak boleh dipersalahkan jika mereka mengatakan tindakan MPAJ itu adalah di atas arahan Khir Toyo yang sedang tertekan akibat dari amalan-amalan rasuah dan penyelewengannya yang telah didedahkan kepada rakyat.

Beginilah keadaannya apabila kita diperintah oleh pemimpin yang tidak mengenali mahupun menghormati amalan demokrasi dan merasakan perlantikannya merupakan satu cek kosong untuk bermaharajalela sepertimana lanun-lanun di zaman purba.

KEHADIRAN POLIS BUKTI SOKONGAN KEPADA PAS SEMAKIN BERTAMBAH

Ampang Jaya, 4 Ogos 2002 - Yang Di Pertua PAS Kawasan Ampang Jaya, Haji Sarom Haji Jais, menyifatkan kehadiran pihak polis di majlis "Sepagi bersama Tuan Guru" pada 3 Ogos lepas merupakan satu bukti bahawa sokongan rakyat kepada PAS di Ampang Jaya telah bertambah.

Program yang dihadiri oleh Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat di Markaz PAS Kawasan Ampang Jaya, Taman Dagang Jaya telah dihadiri oleh lebih 1,000 orang walaupun pihak polis telah membuat dua sekatan jalanraya di jalan-jalan utama ke markaz tersebut.

Menurut Haji Sarom, sekatan-sekatan jalan dan kehadiran begitu ramai anggota polis serta penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ) telah gagal menakutkan mereka yang mahu mendengar ceramah dari Menteri Besar Kelantan itu. Turut juga berceramah adalah Dr. Mohd. Hatta Ramli, AJK PAS Pusat.

Haji Sarom berkata kehadiran pihak polis adalah satu usaha UMNO untuk membendung pengaruh PAS yang semakin hari semakin meningkat di Ampang Jaya.

Ini pula ditambah dengan perebutan kuasa yang berlaku di antara pimpinan Bahagian akibat dari perebutan kontrak-kontrak dan komisyen-komisyen.

Di dalam usaha mereka untuk mengagalkan program pagi tersebut, khemah yang dipasang di hadapan markaz PAS itu telah juga dirampas oleh MPAJ pada malam sebelumnya.

Sementara itu Setiausaha PAS Kawasan Ampang Jaya, Abdul Jalil Hassan, UMNO dan PAS sentiasa bersaing untuk mendapatkan sokongan rakyat tetapi UMNO sepatutnya lebih kreatif di dalam usaha-usaha mereka. Mereka tidak seharusnya memperalatkan polis dan MPAJ untuk mencapai tujuan politik mereka.

Taktik menggunakan polis untuk mengagalkan program-program PAS telah juga digunakan oleh UMNO di kawasan-kawasan lain di negeri Selangor di mana kemerosotan pengaruh mereka berada di tahap yang kritikal.

Ramai yang ditemuramah semasa majlis tersebut telah menyarankan agar pihak polis tidak melakukan tindakan-tindakan yang akan menyebabkan mereka dituduh sebagai alat kepada UMNO.

Keyakinan rakyat di Ampang Jaya terhadap pihak polis perlu dikembalikan terutamanya apabila telah berlaku kes-kes penyalahgunaan kuasa sepertimana apabila seorang pendatang asing telah dirogol oleh seorang anggota polis di Balai Polis Ampang.

Sementara MPAJ yang selama ini sememangnya menjadi budak suruhan UMNO dan BN telah disarankan oleh mereka yang hadir supaya memulihkan imejnya.

Khemah yang dipasang di Markaz PAS, Taman Dagang Jaya, telah rampas tiga jam selepas ianya dipasang pada jam 7.00 malam. Di dalam melakukan "kerja-kerja kotor" UMNO dan BN, MPAJ kelihatan begitu efisien. Tetapi apabila berhadapan dengan masalah-masaalah lain seperti menangani penjualan CD-CD cetak rompak di pasar-pasar malam, MPAJ begitu lembab kerana hampir setiap pasar malam di Ampang Jaya menjualnya tanpa gangguan sesiapa seolah-olah berlaku persefahaman di antara taukeh-taukeh CD dan Yang Di Pertua MPAJ.

Banjir di Taman Kosas : Jangan hanya pandai menabur janji kosong !

Ampang Jaya, 15 Mei 2002 - Penduduk Taman Kosas berharap agar pihak-pihak yang sepatutnya bertanggung-jawab seperti MPAJ dan ADUN Lembah Jaya tidak hanya pandai menabur janji kosong tetapi berusaha bersungguh-sunggguh untuk menyelasaikan masaalah banjir di taman mereka.

Perkara ini telah diberitahu kepada Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan Ampang Jaya, Iskandar Abdul Samad yang telah membuat lawatan ke tempat-tempat terlibat pada 11 Mel lepas.

Menurut Iskandar, jika MPAJ boleh membuat sambutan besar-besaran ulangtahunnya ke sepuluh dengan membelanjakan lebih RM 513,000 maka amatlah mengecewakan apabila ianya gagal untuk mempertingkatkan keselesaan rakyat dan memperbaiki mutu perkhidmatannya.

Ambil Tindakan Ke Atas Lori-Lori Batu Ke Lembah Jaya Utara

Ketua Pemuda PAS Kawasan Ampang Jaya, Qasim Abdul Aziz menggesa pihak polis mengambil tindakan ke atas lori-lori batu ke Lembah Jaya Utara yang dilaporkan memandu tanpa menghiraukan keselamatan orang awam.

Baru-baru ini seorang guru sekolah yang sedang mengandung 8 bulan telah terkorban apabila beliau telah diseret oleh salah sebuah lori tersebut.

Kematian guru itu telah menyebabkan 7 orang anaknya kehilangan ibu mereka.

Oleh itu PAS berharap agar pihak polis akan dapat melancarkan satu operasi untuk memastikan lori-lori itu tidak membahayakan penduduk tempatan.

Hakcipta Terpelihara PAS Kawasan Ampang Jaya 2002