Kenyataan & Pendapat

Home

Fikrah & Tazkirah
AJK Kerja PAS Kawasan
Program-Program Terdekat
Berita Ampang Jaya
Kenyataan & Pendapat
Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) Kawasan Ampang Jaya, Selangor D.E.

PERUTUSAN RAMADHAN 2002 OLEH HAJI SAROM HAJI JAIS, YANG DI PERTUA PAS KAWASAN AMPANG JAYA.

Segala puji-pujian bagi Allah SWT yang telah mencipta manusia itu pelbagai bangsa dan bahasa, dengan kurnia dan izinNya kita telah sekali lagi dapat bertemu dengan bulan Ramadhan tahun ini.

Bagi pihak PAS Kawasan Ampang Jaya, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan kepada seluruh umat Islam.

Marilah kita sama-sama berharap agar kita penuhi bulan Ramadhan ini dengan amal ibadah oleh kerana setiap darinya akan digandakan oleh Allah SWT.

Bulan Ramadhan adalah bulan latihan bagi umat Islam. Ianya bertujuan untuk menjadikan mereka seorang Muslim yang lebih bertaqwa dan komited.

Berpuasa di bulan Ramadhan mendidik jiwa kita supaya lebih bersabar, pemurah, insaf, kasih dan kasihan belas. Puasa ini juga dapat menghakis sifat-sifat buruk seperti sombong, rakus, keras hati, tamak, bakhil dan keluh kesah

Usaha membina nilai-nilai murni seperti ini adalah amat penting bukan sahaja untuk insan tersebut tetapi kepada negara yang memerlukan warganegara yang jujur dan ikhlas agar ianya terhindar dari bahaya-bahaya seperti penyelewengan dan salahgunakuasa di samping mempersiapkannya untuk menghadapi cabaran-cabaran di masa akan datang.

Ramadhan sepatutnya menjadikan kita seorang Muslim yang lebih baik.

Kalau sebelum Ramadhan mungkin tidak atau jarang solat tetapi selepas Ramadhan mengerjakan solat lima waktu. Kalau sebelum Ramadhan tidak pernah solat berjemaah tetapi setelah dilatih dengan solat tarawih setiap malam maka mula solat berjemaah setiap waktu. Begitulah seterusnya dan terpulanglah kepada diri kita untuk menilai pencapaian diri masing-masing.

Saya yakin kita semua berpuasa di atas sifat taqwa kepada Allah SWT. Maka oleh itu sudah tentulah jika kita boleh melaksanakan ibadah puasa maka ibadah-ibadah wajib yang lain seperti solat tidak akan kita abaikan.

Memang malang jika terdapat di antara kita yang boleh bertahan lapar lebih dari 12 jam tetapi tidak berupaya untuk solat yang mungkin mengambil masa sekadar 5 minit. Bukankah solat itu merupakan tiang agama ? Sesiapa yang mengerjakannya telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya telah meruntuhkan agama.

Puasa dan solat ini adalah di antara ibadah-ibadah khusus yang akan menjadikan seorang insan itu lebih berdisiplin. Disiplin pula adalah satu elemen penting di dalam mempertingkatkan daya saing rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi di dalam era globalisasi masakini.

InsyaAllah tidak lama lagi kita akan bertemu dengan bulan Syawal. Di Hari Raya 'Idul Fitri itu, marilah kita sama-sama mengambil kesempatan untuk mempereratkan tali silaturrahim di antara kita. Kita perlu memupuk semangat perpaduan serta berusaha ke arah kesejahteraan sejagat sesuai dengan Islam yang menganjurkan keamanan.

Walau bagaimanapun di dalam keghairahan kita bermaaf-maafan, kita perlu menginsafi akan kesalahan-kesalahan kita yang lama dan bertekad tidak mahu mengulanginya. Tidak kira yang bersalah itu rakyat biasa ataupun pemimpin besar, ucapan maaf itu tidak wajar hanya merupakan ucapan di mulut semata-mata.

Jika ada yang pernah menyakiti hati sesiapa maka bertekadlah untuk tidak mengulang perbuatan itu. Jika ada yang pernah menzalimi sesiapa maka pastikan kezaliman itu telah berakhir dan jika ada yang pernah menafikan hak sesiapa maka kembalikanlah hak tersebut jika kita benar-benar ikhlas.

Tidak ada gunanya kita menghulurkan tangan sebagai tanda persahabatan dan kononnya mahukan perpaduan sekirannya kita masih tetap dengan tabiat-tabiat dan perangai-perangai yang menghimpit mereka di sekeliling kita.

Haji Sarom Terkilan

YDP PAS Kawasan Ampang Jaya, Haji Sarom Haji Jais telah melahirkan rasa terkilan kerana ceramah terakhir Allahyarham Dato Fadzil Noor di Ampang Jaya pada 3 April lepas telah dikawal oleh ratusan anggota polis bersama-sama penguatkuasa MPAJ.

Menurut beliau, "Saya sedih kedatangan Dato Fadzil disambut dengan sekatan-sekatan jalanraya dan trak-trak polis seolah-olah beliau adalah seorang penjenayah walhal beliau adalah seorang pemimpin yang dihormati dan disegani di dalam dan di luar negeri."

 

Kenyataan Mohd. Ezam Mohd. Nor Di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas dijatuhkan hukuman di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)

MELAKSANA TANGGUNGJAWAB MORAL KEPADA RAKYAT DAN NEGARA

Yang Arif,

Beberapa tahun lalu, saya dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Malaysia. Dalam usia belum mencecah 30, saya menjadi setiausaha politik termuda ketika itu. Saya dipilih oleh Menteri Kewangan manakala perlantikan dibuat oleh Perdana Menteri. Majlis angkat sumpah jawatan diadakan di hadapan Perdana Menteri dengan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara. Tentunya saya merasa bertuah diberi peluang berkhidmat dalam kerajaan di kedudukan yang cukup penting dalam usia yang semuda itu. Seorang Setiausaha Politik dikehendaki hadir mesyuarat pasca kabinet (post-cabinet). Mesyuarat ini dipengerusikan oleh menteri dan dihadiri oleh semua pegawai tertinggi di kementerian tersebut. Ianya merupakan mesyuarat terpenting selepas mesyuarat kabinet dan diadakan sebaik selepas mesyuarat kabinet setiap Rabu.

Pada penghujung tahun 1997, ekonomi mula merudum. Saban minggu mesyuarat pasca kabinet menjadi medan pertarungan. Antara mempertahan amanah dan memunggah khazanah. Menteri Kewangan dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang masih setia dengan amanah rakyat berhempas pulas menepis tekanan Perdana Menteri dan kroni mahu dipunggah khazanah negara untuk menyelamat syarikat milik kerabat dan kroni. Kepentingan pemilik utama Perwaja, MAS, Renong, Projek Bakun, Projek Monorel, Syarikat Perkapalan kesemuanya mesti diselamatkan. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Petronas, Lembaga Tabung Haji (LTH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah sumber dana awam yang menjadi mangsa.

Kesemua kita tahu kesudahan pertarungan ini. Menteri yang mempertahankan kepentingan rakyat dipecat. Saya lebih memahaminya kerana seminggu sebelum dipecat, Dato Seri Anwar Ibrahim telah memberitahu saya Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Saya dilihat sebagai penghalang. Mereka mahu saya keluar dari kerajaan. Saya tidak boleh kompromi. Peristiwa ini cukup signifikan bukan sahaja kepada diri saya tetapi juga kepada kelangsungan negara. Saya ditakdirkan berada di satu kedudukan untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku. Ianya bukan perhitungan peribadi. Ianya adalah pertarungan antara ketelusan dan penyelewengan, amanah dan rasuah.

Di situ tekad saya bermula. Bertolak dari dhamir (conscience) yang jelas untuk berjuang menentang rasuah dan penyelewengan yang berlaku di depan mata. Di sini saya berdiri hari ini untuk terus mempertahan tekad dan keyakinan saya. Tekad untuk terus berjuang, meminjam kata-kata seorang sasterawan negara Berjuang dalam satu era keras dan panas bagi menyanjungi amanah dan ketakhalobaan.

Yang Arif,

Dengan tekad dan keyakinan tersebut, saya berjuang dengan menyertai sebuah parti yang berdaftar secara sah, Parti Keadilan Nasional keADILan. Saya menggunakan segala ruang yang dibenarkan oleh perlembagaan untuk menyatakan yang haq (benar) kepada rakyat. Melalui ceramah-ceramah politik saya mendedahkan secara khusus penyelewengan yang berlaku, bagaimana wang rakyat dan dana awam diguna untuk menyelamat kerabat dan kroni yang sedang nazak. Rakyat berhak tahu kerana ini persoalan hak dan masa depan mereka. Sudah tentu media perdana negara tidak menyiarkan pendedahan saya. Sebaliknya pula serangan dibuat terhadap saya. Saya digelar penderhaka, pengkhianat, pengganas, penghasut!

Matlamat mereka ialah untuk memburukkan imej saya dan menghancurkan kredibiliti pendedahan saya. Mereka gagal. Semakin ramai rakyat hadir mendengar penjelasan saya. Justeru ceramah disekat. Segala ruang untuk menyampai maklumat dinafikan. Perjumpaan di dalam rumah pun diganggu oleh polis. Kononnya kerana kami memfitnah dan memecah-belahkan rakyat. Kalau itu alasannya mengapa tidak diambil tindakan undang-undang atas dakwaan fitnah? Tidak sukar untuk menyaman dan mendakwa saya kerana pendedahan saya spesifik dan khusus menyebut nama projek, nama syarikat, nama kroni, nama kerabat, nama dana dan jumlah wang rakyat yang disamun.

Saya tetap mengikut saluran undang-undang dan perlembagaan. Saya membuat laporan polis supaya siasatan rapi boleh dilakukan terhadap dakwaan penyelewengan tersebut. Saya hadir di balai polis bila dipanggil untuk memberi keterangan. Ada kalanya memakan masa berjam-jam. Saya tetap akur dan gigih memberi kerjasama. Tetapi saya ditipu. Keterangan hanya diambil dari saya. Polis tidak pernah mengambil keterangan daripada individu yang disabitkan di dalam laporan polis saya kerana mereka adalah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri serta kerabat dan kroni mereka. Lebih malang lagi apabila tindakan saya membuat laporan polis menyebabkan saya dilihat sebagai musuh negara. Saya bukan musuh negara. Saya musuh kepada pemimpin-pemimpin negara yang rasuah dan menyeleweng. Akibatnya saya yang ditahan. Tuduhan direka agar saya ditahan berkali-kali di lokap balai polis dan akhirnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kononnya kerana mengancam keselamatan negara. Sebenarnya saya ditahan hanya untuk mempastikan saya tidak tampil lagi ke balai polis untuk membuat laporan polis. Laporan polis yang akan mengancam kedudukan pemimpin rasuah bukannya keselamatan negara!

Di bawah peruntukan Akta Rahsia Rasmi (OSA) ini ada dinyatakan kewajiban menyerahkan kepada polis sebarang dokumen rahsia yang diperolehi. Dalam ertikata lain, untuk tidak dihukum saya sepatutnya menyerahkan dokumen yang saya perolehi ini kepada polis. Persoalannya, polis yang bagaimana? Polis yang setia kepada negara dan menjunjung prinsip keadilan atau polis yang setia kepada penguasa rasuah dan sanggup menjadi alat dan perkakas mereka?

Puluhan laporan polis membabitkan penguasa yang rasuah pernah saya buat bersama rakan-rakan lain. Kesemuanya lenyap begitu sahaja. Ada laporan polis seperti kes kenyataan bekas Ketua Pengarah BPR, Dato Shafie Yahya terhadap Perdana Menteri dilaporkan oleh ribuan rakyat Malaysia di seluruh balai polis utama setiap negeri. Tiada tindakan diambil. Sebaliknya apabila satu laporan polis dibuat terhadap saya, tindakan serta- merta diambil. Pernah laporan polis dibuat oleh Pemuda Umno terhadap saya dan dalam tempoh kurang 2 jam polis telah menyerbu dan menggeledah rumah saya di hadapan anak-anak saya tanpa saya di rumah. Hari yang sama saya ditahan, disumbat di lokap pada malam saya seharusnya berada bersama keluarga dan umat Islam lain melafazkan takbir menyambut Eidul Adha keesokan harinya. Apakah masih belum cukup alasan untuk saya meragui kewibawaan polis?

Mahkamah hari ini juga membuktikan hakikat bagaimana polis diperalat untuk melindungi penguasa rasuah. Pada 9 Julai 1999, satu laporan polis telah dibuat terhadap pemimpin kerajaan yang sama, Dato Seri Rafidah Aziz dan beberapa menteri kabinet lain. Laporan polis tersebut dibuat oleh Dato Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Sebahagian daripada asas laporan polis beliau merujuk kepada kandungan dokumen yang sama yang menjad asas kes hari ini. Persoalannya mengapa sehingga ke hari ini tiada siasatan dibuat terhadap laporan polis tersebut? Laporan polis terhadap saya dibuat oleh seorang pegawai polis 4 bulan selepas laporan polis dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Kes terhadap saya selesai hari ini manakala kes yang membabitkan laporan polis terhadap pemimpin kerajaan masih belum bermula!

Baru-baru ini Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Jamil Johari membuat kenyataan memberi jaminan setiap laporan polis akan mula disiasat dalam tempoh 7 hari selepas laporan polis dibuat. Dalam kenyataan yang sama beliau juga memperakukan hak pelapor untuk dimaklumkan dari masa ke semasa perkembangan siasatan. Saya cadangkan kepada beliau, untuk mengelakkan beliau dilihat sebagai seorang penipu besar beliau seharusnya membuat sedikit perubahan kepada kenyataan tersebut. Beliau seharusnya berkata, kenyataan tersebut hanya membabitkan laporan polis yang tidak melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri Kabinet serta kerabat dan kroni mereka. Sebagai alat dan perkakas kepada penguasa-penguasa rasuah sudah tentu polis tidak akan melayan laporan polis yang dibuat terhadap salah laku rasuah dan penyelewengan mereka! Seorang Menteri Kabinet, Dato Rais Yatim juga membuat kenyataan untuk cuba mengurangkan kerosakan (damage control). Beliau menggesa siasatan dibuat dengan segera tanpa pilih bulu setelah laporan polis dibuat. Beliau juga pernah mengumumkan penubuhan sebuah unit di kementeriannya untuk memantau laporan-laporan polis yang memakan masa lama untuk disiasat. Ia hanya berakhir sebagai satu kenyataan akhbar. Tiada satu tindakan pun yang diambil selepas itu. Seharusnya beliau meletakkan jawatan samada kerana berbohong atau pun menjadi seorang menteri yang gagal menterjemah kenyataan kepada tindakan.

Yang Arif,

Hari ini saya dijatuhkan hukuman. Mahkamah ini menjadikan saya seorang pesalah, seorang penjenayah. Sekiranya mendedahkan salah laku rasuah dan salah guna kuasa pemimpin kerajaan menjadikan saya seorang penjenayah, saya rela untuk seribu kali lagi dihukum dan digelar penjenayah. Saya hanya melaksanakan tanggungjawab moral saya. Rasa tanggungjawab yang lahir dari dhamir (conscience) yang benci dan jijik melihat perlakuan rasuah. Apatah lagi bila melihat perlakuan rasuah itu dilakukan tanpa rasa takut. Saya melihat dan membaca laporan BPR tersebut dan saya merasa jijik. Malangnya tidak ramai yang sempat membacanya. Di dalam sidang mahkamah ini, hanya pihak polis yang menyiasat bersama pihak pendakwa dan peguambela dibenarkan menatap laporan itu selain daripada Yang Arif sendiri. Apakah mereka tidak merasa jijik? Saya percaya setiap jiwa yang masih hidup akan merasa jijik.

Tentunya kita merasa jijik membaca laporan siasatan terhadap seorang menteri yang mempengerusikan mesyuarat dan meluluskan peruntukan berjuta saham kepada menantunya sendiri. Lebih menjijikkan bila membaca pengakuan menteri itu bahawa beliau terus mempengerusikan mesyuarat itu walaupun sedar ianya merupakan satu kesalahan kerana diarah oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri arahkan beliau pastikan anak beliau (Perdana Menteri) juga diberikan peruntukan saham dalam mesyuarat yang sama. Terlalu jijik untuk kita mempercayainya sebagai satu dokumen yang benar. Tetapi sesungguhnya ia merupakan satu kisah benar. Proses mahkamah ini membuktikan bahawa dokumen itu bukan dokumen palsu. Dokumen-dokumen itu adalah laporan siasatan BPR yang telah diperakukan oleh Peguam Negara dalam sidang mahkamah ini sebagai dokumen yang benar. Laporan siasatan BPR itu menampilkan bukti dan asas-asas yang kukuh mengenai perlakuan rasuah dan salah guna kuasa dua pemimpin kerajaan. Dato Seri Rafidah Aziz dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik. Dalam laporan itu BPR mencadangkan agar kedua-dua pemimpin kerajaan ini didakwa di mahkamah. Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara di dalam laporan yang sama turut menyokong dan memperakukan cadangan BPR itu. Persoalannya, bagaimana seorang individu yang telah disiasat dan dibuktikan oleh BPR dan Jabatan Peguam Negara mempunyai asas kukuh untuk didakwa masih terus lepas bebas? Bagaimana individu ini bukan sahaja bebas tetapi masih menjadi menteri? Bagaimana menteri ini boleh terus menjadi menteri di kementerian yang sama dan meluluskan peruntukan berjuta-juta saham kepada menantu beliau berkali-kali selepas itu?

Kisah begini hanya boleh berlaku di dalam sebuah negara yang rosak (a rotten state). Yang mendedahkan salah laku rasuah dipenjarakan manakala si perasuah terus lepas bebas, kekal menteri dan terus melakukannya berkali-kali lagi! Seharusnya kita mengambil iktibar daripada peristiwa beberapa tahun lalu. Bagaimana seorang Timbalan Perdana Menteri yang bersungguh-sungguh mahu memecahkan rantaian yang melindungi penguasa rasuah dan membentangkan sendiri pindaan akta rasuah di Parlimen akhirnya dipecat dan merengkok di penjara. Seharusnya kita sedia maklum di negara ini yang akan ke penjara ialah orang yang melawan rasuah manakala si perasuah akan terus lepas bebas dengan syarat beliau seorang pemimpin politik parti pemerintah dan cekap membodek dan mengampu. Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya merasa terlalu hairan menerima keputusan hari ini.

Yang Arif,

Saya tidak berminat mempertikai keputusan mahkamah ini. Sejak awal lagi saya sedar pertarungan saya bukan di ruang ini. Jantung dan nadi kes ini bukan di sini. Saya berjuang di medan yang lebih luas. Saya berjuang menentang penguasa yang rasuah. Saya menentang mereka yang menggunakan kuasa untuk melakukan rasuah dan menggubal undang-undang untuk melindungi perbuatan rasuah mereka. Mahkamah ini sendiri tidak punya banyak pilihan. Undang-undang telah digubal untuk menyempitkan ruang agar usaha mencari kebenaran di mahkamah terbatas. Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang digubal di Parlimen oleh penguasa-penguasa rasuah ini digunakan untuk melindungi penyelewengan mereka. Atas nama keselamatan negara mereka menutup segala ruang bagi maklumat rasuah mereka diketahui umum. Mereka berlindung di sebalik perkataan RAHSIA BESAR, RAHSIA, SULIT dan TERHAD untuk menggerunkan jiwa setiap pegawai dan kakitangan pentadbiran negara yang terpaksa berdepan dengan perangai jijik mereka. Media sebagai institusi masyarakat terpenting di dalam menghubungkan maklumat antara negara dan rakyat menerusi wartawan-wartawan sentiasa dihantui dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) ini. Kita dapat melihat dengan jelas dilema mereka melalui kenyataan wartawan yang tampil menjadi saksi di dalam kes ini. Pada tahun 1986 akta ini digubal lagi untuk menguatkan lagi cengkaman pemerintah dengan hukuman mandatori penjara menanti sesiapa yang cuba menjadi berani.

Institusi mahkamah sendiri tidak berdaya untuk berbuat apa-apa selain menghukum sesiapa yang ditangkap menyebar kertas yang dicop RAHSIA. Isi kertas tidak relevan. Yang penting ialah perkataan RAHSIA di atas kertas tersebut. Justeru, tiada beza antara kertas tandas dan kertas maklumat rasuah kerana yang penting hanyalah cop RAHSIA. Saya bukan menghina mahkamah. Yang menghina mahkamah ialah penguasa-penguasa rasuah yang membataskan kuasa mahkamah. Mereka menggubal undang-undang bukan untuk memberi kuasa kepada mahkamah tetapi hanya untuk mempastikan mereka terus berkuasa. Pastikan peruntukan akta yang ada cukup untuk menutup maklumat sampai kepada rakyat. Lincoln pernah berkata, Let the people know the facts and the country will be safe. If given the truth, they can be depended on to meet any national crisis (Biar rakyat tahu fakta yang benar dan negara akan selamat. Sekiranya diberi fakta yang benar, mereka boleh diharapkan untuk menghadapi apa jua krisis negara). Lincoln seorang pemimpin yang mendakwa, Im a firm believer in the people. (Saya seorang yang berkeyakinan penuh kepada rakyat). Tentu jauh untuk kita mengharapkan semangat yang sama di negara ini kerana di sini pemimpinnya asyik menyalahkan rakyat. Rakyat punca masalah tidak boleh dipercaya, mudah percaya fitnah, malas, mudah lupa, bodoh, taksub, ekstremis dan haprak. Walaupun hakikatnya yang menjahanamkan negara ini bukan rakyat tetapi pemimpin yang rasuah dan menyeleweng kerana berlumba-lumba mengejar kemewahan tanpa batas.

Pemimpin-pemimpin rasuah ini langsung tidak mempunyai kekuatan moral untuk menggubal akta yang mampu mempertahan prinsip keadilan dan kebenaran. Di Parlimen Britain, sebuah akta diberi nama Public Interest Disclosure Act digubal dengan semangat to encourage people to blow the whistle about malpractice and to ensure the authority respond by acting on the message rather than against the messenger (untuk menggalakkan rakyat mendedahkan penyelewengan dan mempastikan pihak berkuasa bertindak ke atas isu yang dibawa bukan si pembawa isu). Akta seperti ini tidak digubal di Parlimen Malaysia kerana tidak ada keazaman politik (political will) untuk mempertahankan kebenaran atas prinsip keadilan dan pertanggungjawaban.

Tan Sri Harun Hashim, bekas Ketua Pengarah dan pengasas BPR menyatakan bahawa Corruption can only be prevented, even eradicated to a large extent, if there is political will (Rasuah hanya dapat dielakkan malah dihapuskan sekiranya ada keazaman politik). Dalam sebuah ucapan di suatu majlis anjuran MIM (Malaysia Institute of Management) beliau menyatakan, In 1967, when I was appointed to establish the ACA, the PM Tunku Abdul Rahman, gave me a free hand to prevent corruption from spreading in the country. I was allowed to choose and pick officers for the agency from the public service and the police, and unlimited funds from the treasury. There was no interference from the government in the workings of the agency. Even the Attorney-General was not allowed to interfere with prosecutions of corruption cases. As it is now, under the new corruption law, the Director General has no legal power. (Pada tahun 1967, apabila saya dilantik untuk menubuhkan BPR, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman memberi saya sepenuh kebebasan untuk membendung rasuah daripada berleluasa di negara. Saya dibenarkan untuk memilih pegawai untuk badan ini daripada kalangan anggota pentadbiran dan polis, bersama peruntukan yang tidak terhad daripada Kementerian Kewangan. Tidak ada campurtangan daripada kerajaan di dalam urusan BPR. Peguam Negara sendiri pun tidak dibenarkan campurtangan dalam urusan pendakwaan kes-kes rasuah. Tapi dengan undang-undang baru rasuah hari ini, Ketua Pengarah BPR tiada langsung kuasa undang-undang).

Beliau akhirnya mengungkap, The eradication of corruption in the public and private sectors should be everybody s concern. The corrupt should be looked upon as enemies of the public. We do not want corruption to be a way of life. The ACA should be independent, reporting directly to the Parliament. (Usaha membanteras rasuah di dalam perkhidmatan awam dan swasta harus menjadi tanggungjawab semua. Perasuah harus dilihat sebagai musuh rakyat. Kita tidak mahu rasuah menjadi amalan hidup. BPR mesti bebas dan melapor terus kepada parlimen).

Yang Arif,

Hukuman ke atas saya hari membuktikan hakikat tersebut. Dokumen yang menjadi asas kepada hukuman saya hari ini membuktikan bahawa kebimbangan pengasas BPR tersebut berasas. BPR hari ini bukan sahaja tidak bebas malah diikat dan kuasa habis dicabut. Dokumen yang saya edarkan dan ditangkap kerananya bertajuk Laporan Siasatan BPR ke atas Datuk Seri Rafidah Aziz dan Tan Sri Abd Rahim Tamby Chik. Sesiapa yang meneliti kandungan laporan ini pasti dapat melihat betapa gigihnya pegawai-pegawai BPR menyiasat salah laku rasuah yang membabitkan dua pemimpin kerajaan ini. Bukti yang ditampilkan kukuh. Maklumat khusus termasuk beberapa akaun bank milik mereka bernilai jutaan ringgit ditampilkan. Maklumat khusus berjuta saham yang diperuntukkan dan pemilikan harta peribadi bernilai jutaan ringgit juga disenaraikan dengan terperinci. Bagaimana pun ianya tidak membawa apa-apa makna kerana keputusan akhir terletak di tangan Perdana Menteri. Laporan siasatan BPR menjadi komoditi untuk dinilai sebagai tukaran kesetiaan politik. Kalau kamu setia, pendakwaan tidak akan berlaku. Bukan sekadar itu, dia dijamin selamat. Kertas laporan siasatan akan dicop RAHSIA agar tiada siapa tahu. Inilah yang menjadi asas kepada budaya impuniti kebal dari tindakan undang-undang - di kalangan elit politik negara ini. Sebab itulah mereka melakukan rasuah dan penyelewengan tanpa batas dan tanpa rasa takut. Saya berani menyatakan di sini hampir kesemua menteri kabinet di negara ini mempunyai asas untuk didakwa atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa. Saya mengambil tanggungjawab penuh berhubung dakwaan ini dengan syarat BPR diberikan kebebasan untuk menyiasat dan mengemukakan laporan siasatan kepada umum. Jangan gunakan cop RAHSIA di atas semua laporan siasatan tersebut.

Baru-baru ini seorang lagi bekas Ketua Pengarah BPR membuat kenyataan memperkukuh kewujudan budaya impuniti yang berleluasa. Sebagai seorang saksi dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim, Dato Shafie Yahya menyatakan kepada Mahkamah Tinggi bagaimana Perdana Menteri menghalang beliau meneruskan siasatan kes rasuah yang membabitkan seorang pegawai tinggi kerajaan. Kenyataan ini amat penting kerana ianya daripada seorang Bekas Ketua Pengarah BPR sendiri dan membabitkan secara langsung Perdana Menteri. Kenyataan ini pula dibuat di Mahkamah Tinggi. Seluruh negara seharusnya bersedih dengan kenyataan ini. BPR sebuah badan terpenting dalam membanteras rasuah, penyakit paling bahaya bagi sesebuah masyarakat dan negara, telah dicabut segala kuasa untuk bertindak dengan berkesan dan adil. Episod perbicaraan ke atas saya ini hanya memperkukuhkan hakikat tersebut.

Usaha yang bersungguh-sungguh harus dilakukan untuk membendung masalah rasuah dari terus berleluasa. Penguasa yang bergelumang dengan rasuah tidak akan mampu untuk melakukan bentuk perubahan atau reformasi yang diperlukan. Penguasa seperti ini pernah digambarkan oleh Ibn Khaldun sebagai "penguasa yang terlalu asyik dan berkeinginan hidup mewah. Mereka hanya sekadar berpura-pura menangis di perhimpunan parti mereka. Sebenarnya sebagai parti pemerintah mereka mampu untuk menangani masalah rasuah tanpa perlu menangis di khalayak ramai sekiranya mereka benar-benar punya keazaman politik (political will).

Dua tahun lalu, di negara jiran, Thailand, kita menyaksikan bagaimana parti pemerintah yang mempunyai political will melakukan reformasi membanteras rasuah. Parti Demokrat yang memerintah ketika itu melakukan reformasi sehingga tertubuhnya sebuah badan pencegah rasuah (National Counter-Corruption Comission) yang diberi kuasa penuh untuk bertindak ke atas perasuah. Dunia menyaksikan bagaimana Setiausaha Agung parti pemerintah itu sendiri disiasat dan dihukum. Keadaannya berbeza di Malaysia. Setiausaha Agung Umno, parti pemerintah di Malaysia kebal dari tuduhan rasuah. Sudah lebih setahun laporan polis dibuat terhadapnya oleh seorang ahli Dewan Undangan Negeri membabitkan salah laku rasuah bernilai lebih 2 ribu juta ringgit khazanah negeri (kayu balak) semasa beliau menjadi Menteri Besar Pahang. Tiada berita samada siasatan polis sudah bermula atau berakhir. Beliau masih terus menjadi menteri dan setiausaha agung parti. Malah baru-baru ini beliau yang mengumumkan proses peralihan kuasa di negara ini dan pengganti Perdana Menteri. Apakah kita masih belum faham jenis apa negara kita hari ini?

Yang Arif,

Biar saya tegaskan di sini, walau apa pun hukuman yang dijatuhkan terhadap saya ianya tidak akan merubah pendirian dan keyakinan saya. Saya dihukum hari ini bukan kerana membocorkan rahsia yang menggugat keselamatan negara. Saya bukan perosak negara. Saya ingin menyelamatkan negara. Saya bertindak di atas pendirian dan keyakinan saya bahawa rasuah dan penyelewengan kuasa adalah asas kepada keruntuhan negara. Saya bertindak dengan dhamir (conscience) yang jelas melihat kerakusan penguasa kepada harta. Saya menjunjung perintah Allah dalam surah Al-Hasyr, Ayat 7:

Supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kalian.

Sejarah bangsa dalam karya agung Sejarah Melayu atau Sulalat-al-Salatin banyak memberi pengajaran. Terlalu banyak kisah di dalamnya mengenai hilangnya pertimbangan moral penguasa akibat pengaruh wang dan kemewahan sehingga diungkap perkataan hilangnya budi akal kerana harta. Wang Ann Shih, tokoh perubahan dan falsafah Cina mengungkapnya sebagai sifat manusia durjana dan undang-undang yang lemah. Tentu ramai yang pernah mendengar bila Ghandi mengungkap bagaimana sifat tamak haloba yang menyempitkan dunia yang luas.

Di dalam kesunyian terasing di Kem Tahanan Kamunting, buku menjadi teman rapat saya termasuk sebuah novel karya Hamka bertajuk Tuan Direktur. Kisah tamak haloba penguasa dan kroninya. Yang lebih menyentuh dhamir saya ialah sebuah hadis Rasulullah s.a.w riwayat Tarmizi yang terpampang di muka depan novel. Sesungguhnya setiap umat ditimpa oleh cubaan dan cubaan bagi umatku ialah harta.

Hari ini saya telah melaksanakan tanggungjawab moral saya. Sebagai seorang pemimpin politik, saya hanya melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara. Sebagai seorang hamba Allah, saya melaksanakan tanggungjawab ini atas tuntutannya. Islam melihat kebebasan bersuara hurriyyat al-bayan atau hurriyyat al-muaradah bukan sahaja persoalan hak individu tetapi kewajipan yang wajib dilaksanakan demi menegakkan kebenaran. Saya yakin kepada kekuatan kebenaran. Saya tidak ragu sedikit pun bahawa kebenaran akan tertegak dan sejarah akan membuktikan saya benar.

Saya juga yakin apa yang berlaku hari ini akan memperkukuh iltizam teman-teman khususnya anak-anak muda, generasi baru negara ini untuk terus berjuang berasaskan dhamir mereka untuk menentang rasuah dan penyelewengan dari terus berleluasa di negara ini. Generasi muda mesti pastikan budaya impuniti di kalangan elit politik ini dihapuskan di zaman mereka. Kita sebenarnya tidak punya banyak pilihan. Dalam era globalisasi, budaya impuniti ini akan menghancurkan negara jika tidak dihapuskan sekarang.

Yang Arif,

Sudah lebih setahun saya di penjara. Saya faham makna penjara. Saya tahu kesengsarannya terutama kepada keluarga dan anak-anak saya yang masih kecil. Derita mereka bukan kepalang. Saya hanya mampu berdoa bila mereka besar nanti mereka akan faham makna pengorbanan ini.Mengapa saya tetap teguh mempertahan keyakinan saya. Mengapa saya tidak serik-serik. Mengapa saya terus berjuang dan berjuang. Dari mahkamah ke mahkamah, dari lokap ke lokap, dari penjara ke penjara. Ianya adalah untuk masa depan mereka, anak-anak saya dan juga anak-anak tuan-tuan.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

Akan selalu ada dalam umatku, orang yang berpegang teguh pada kebenaran, mereka tidak merasa berat dengan gangguan yang datang pada mereka. Demikian hingga perintah Allah datang.

(Hadith Riwayat Muslim/Bukhari)

Semoga kita termasuk di dalam golongan tersebut.

Sekian.

7 Ogos 2002
Mahkamah Sesyen,
Petaling Jaya, Selangor D.E.

( SEMUA ARTIKEL ADALAH PENDAPAT PENULIS DAN TIDAK SEMESTINYA PENDAPAT RESMI PAS KAWASAN AMPANG JAYA )

Kenapa Perdana Menteri Bersara
(Why the Prime Minister Resigns)

Oleh Harun Rashid (Artikel asal dipetik drp FGR)


Beberapa tahun yang lalu perdana menteri Dr. Mahathir pernah berkata: "Mereka akan menghadapi masalah untuk menyingkirkan saya." Ketika itu, ada pihak yang memikirkan bahawa adalah ganjil untuk seseorang yang memimpin satu institusi demokrasi, dan kerap menyatakan kesediaan untuk bersara secara sukarela ("Apabila saya tidak lagi dikehendaki").

Masa begitu sudah lama berlalu, dan keinginannya untuk terus bergayut kepada jawatannya itu sudah semakin terserlah kepada semua. Tarikan jawatan yang tinggi itu menyebabkan ramai orang yang pintar dan berpelajaran tinggi bersedia menjual harga diri mereka mendapatkan pengalamannya. Itulah kejayaan Mahathir, setakat ini.

Kini, dia sudah menyatakan hasrat mahu bersara. Niat itu diserlahkan sebagai satu persaraan yang dibuat secara sukarela. Ia berlaku secara mendadak, dalam satu cara ortodoks yang sungguh tidak disangka-sangka. Tidak ada satu penyerahan surat perletakan secara formal. Ia merupakan satu majlis yang sungguh beremosi, yang dipenuhi titisan airmata dan perasaan kecewa yang mudah meruntun hati. Ia tidak merupakan satu penyerahan niat bersara yang format, kerana ia adalah gambaran satu niat yang amat samar tujuannya. "I have decided, I have decided, lama dah" (saya dah buat keputusan, lama dah....... nak buat benda ni...!!!!) katanya sebagai jawapan yang penuh perasaan tertekan apabila ramai Menteri yang menyerbu ke sisinya. Mereka turut takut akan perihal diri sendiri, bukannya bermaksud mahu ambil pusing akan hal peribadinya.

Untuk mendapatkan jawapan itu eloklah kita menyorot kepada peristiwa yang berlaku pada bulan September 1998. Satu gelombang kesedaran tiba-tiba meledak di Malaysia disebabkan ketidak-upayaan (ataupun keengganan) Presiden baru Indonesia untuk mengawal dan melindungi Suharto dan ahli keluarganya daripada proses pendakwaan. Timbul kesedaran betapa Anwar Ibrahim tidak boleh dipercayai, kerana itu ada tindakan menyingkirkan beliau daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Satu kempen mengaibkan Anwar telah dilancarkan untuk beberapa tahun lamanya. Penggerak utama adalah rakan sekutu politik Mahathir yang bernama Daim Zainuddin. Anwar dijangka meletakkkan jawatannya dengan penuh keaiban.Mahathir berjanji, seandainya beliau undur tanpa sebarang karenah, dia akan diberikan imbuhan kerana kesediaannya itu dan sikap sanggup untuk membisu.

Seandainya dia berdegil, Mahathir mengugut mahu mendakwanya dengan tuduhan palsu. Apabila tercetus konfrontasi secara berdepan itu, Anwar tidak sanggup untuk bersetuju.Yang mengejutkannya, Mahathir tersilap congak. Sepatutnya dia lebih tahu, kerana Anwar sudah lama mengggunakan alasan keIslaman untuk menudung segala unsur rasuah yang terdapat dalam pentadbiran Mahathir sejak lapan tahun sebelum itu. Usaha itu adalah satu pakatan yang berkesan untuk Mahathir dan Anwar. Anwar telah merelakan Mahathir melakukan segala kegiatan yang tidak bermoral, sambil berpuashati untuk menunggu masanya sebagai orang dalam, sambil merancang membuat segala perubahan yang perlu sebaik sahaja dia mengambil-alih jawatan utama itu.

Bahaya ugutan yang menghantui Mahathir dan Daim memang ada asasnya yang benar. Kerana itu mereka sedar betapa penting memadamkan suara Anwar. Mereka terpaksa menyekat satu usaha mencabar jawatan presiden UMNO yang sekaligus membolehkan pemenangnya menjadi Perdana Menteri. Kalaulah Anwar mendedahkan segala kerja jijik Daim Zainuddin dan Mahathir, terutama sekali akan perihal bagaimana mereka menyapu licin segala kekayaan yang tersorok dalam perbendaharan UMNO dan perusahaan utama Malaysia, sudah tentu kemarahan yang membuak dalam UMNO pasti meledak. Selaku Menteri kewangan, Anwar Ibrahim mempunyai segala ruang untuk memantau segala maklumat, dan segala cemuhannya terhadap kerja jijik itu sudah tentu menjadi sumber keraguan di banyak pihak yang terlibat.

Anwar memang popular ketika itu, dan sedang merelakan kewujudan satu kumpulan pengikut yang merestui perjuangannya. Sudah semakin terserlah betapa dia sudah berupaya mencabar Mahathir dari dalam UMNO sendiri. Daim sudah nampak akan bahaya unsur ini dan membuat kepastian bahawa dunia politik Anwar mesti dihancurkan, dengan segera. Maka terlakarlah rencana durjana yang membabitkan puak reformasi menentang penyangak yang mahu bertapak. Anwar menyambut cabaran mereka, "Laksanakan kedurjanaan terhebat anda, kebenaran akan terserlah juga," demikian jawapannya.

Ugutan yang serupa pernah dikenakan terhadap pihak lain dalam kerajaan, betapa satu pendakwaan yang dirancang terhadap mereka yang gagal akur kepada arahan untuk bersara dan melepaskan jawatan. Semua ugutan itu sudah menonjolkan kejayaannya. Cuma para konspirator yang bersekongkolan itu tidak terfikir bahawa Anwar adalah bukan calang-calang manusia yang mampu memaparkan wibawa yang berbeza dari pengharapan mereka. Anwar Ibrahim menyambut cabaran kedurjanaan, memaksa peraturan sistem mahkamah yang haprak terdedah dan ternoda sehingga sistem penghakiman Malaysia tercemar dengan hinanya di mata dunia.

Anwar tersingkir secara paksa dari jawatannya. Dia dipecat dengan alasan wujudnya perilaku yang tidak bermoral, senada laporan yang dikemukakan oleh Mahathir. Dia tidak dituduh dan didakwa serta-merta, ataupun dikenakan arahan pergi bercuti untuk sementara. Mahathir bersuara lantang betapa dia mempunyaisegala bukti yang terang, yang mampu didedahkannya dengan segala butiran yang jelas dan panjang. Segala 'bukti' yang didakwanya itu tidak pernah terdedah mulai daripada saat itu, sedangkan dirinya sendiri takut menghadiri arahan mahkamah yang memberikan sapina untuk berbuat begitu. Alasan sebenar terlalu
jelas. Segala kenyataannya yang memfitnah itu memang tidak berasas.

Apabila dia dilucutkan segala jawatannya, Anwar mula melancarkan kempen merata negara untuk memperkukuhkan kedudukan pengaruhnya. Dia bertindak sanggup mencabar Mahathir daripada jawatan unggulannya. Di tahap awalan, Anwar tidak diterima sebagai seorang calon yang serius. Hanya setelah dia berjaya menarik himpunan manusia yang tidak kepalang ramainya, sambil berpidato mendedahkan korupsi yang sudah lama menggila dalam kerajaan yang ada, barulah timbul satu kesedaran bahawa Anwar mesti dimusnahkan dengan segera. Arahan yang asal telah diserahkan kepada pihak polis, membunuhnya di rumah kediamannya sendiri, dengan tipu muslihat dia terbunuh kerana mencuba melepaskan diri ketika dicari.

Tetapi, Anwar sudahpun menghantar notis bertulis betapa dia tidak akan menentang penangkapannya, dan seandainya ada waran tangkap yang dikeluarkan, dia rela menyerah diri tanpa bantahan. Pembunuh yang bertopeng dikerah tanpa isyarat dan loceng di rumah kediamannya di malam buta. Ketika itu Anwar sedang memberikan satu persidangan akhbar yang dipenuhi oleh wartawan antarabangsa. Anwar meminta mereka yang hadir untuk bertenang, walaupun ketika itu pasukan polis yang datang secara rasmi sudah menceroboh masuk dengan cara memecah jendela dan pintu.

Semakin jelas kepada mereka yang berada di situ betapa wujud usaha yang disengajakan untuk mencetus huru-hara yang dapat menjentik perasaan marah sebagai balasannya. Timbullah kejutan betapa pegawai polis yang menceroboh itu bukannya anggota polis biasa. Mereka adalah anggota polis UTK, yang amat terkenal dengan kesediaan melepaskan tembakan mengena bahagian tengah antara dua biji mata, sesiapa yang diangggap sasaran yang direlakan.

(Catatan: Untuk membuktikan keberkesanan tindakan kumpulan itu, tidak berapa lama selepas kejadian itu tercetus berita lima orang penculik .... yang terlibat menculik anak lelaki seorang pegawai tinggi UMNO.... telah mati dibunuh.

Kesemua mereka adalah kaum India, termasuk seorang wanita yang hamil kandungan berusia lapan bulan. Kejadian itu berlaku di selatan pinggir Kuala Lumpur. Pada malam berikutnya, enam orang kaum India lagi yang dikatakan penyeludup senjata api telah ditembak mati di Kelantan. Dalam dua kejadian itu, polis telah mengaku betapa wujudnya 'kesilapan' dan waris si mati telah diberikan pampasan. Anggota polis yang menjalankan tugas rasmi membunuh dengan kejamnya masih lagi bebas dan merdeka tanpa ada sebarang dakwaan terhadap mereka. Baru-baru ini kerajaan telah menafikan dalam Parlimen betapa wujudnya skuad pembunuh UTK itu, walaupun mereka kerap dianugerahkan hadiah secara terbuka. Jelas, betapa seseorang yang sanggup melakukan pembunuhan yang durjana mudah dianugerahkan bintang 'datuk' dan kebesaran oleh paduka raja.)

Setelah jelas bahawa rencana membunuh Anwar itu tidak dapat dilakukan selagi Anwar tidak dipisahkan daripada persidangan akhbar di rumahnya, dia telah diarahkan memasuki kamar yang lain untuk mendapatkan "dokumen yang diperlukan". Semakin jelas kepada Anwar niat sebenar taktik itu, dan mengarahkan orang lain mendapatkan dokumen itu. Pegawai polis yang sudah tertekan terus mencetuskan pelbagai kecelaruan untuk menyerkup rencana pembunuhan terancang mereka. Itupun setelah mereka menyedari betapa segala tindak-tanduk mereka sedang dirakam dengan jelas oleh himpunan manusia yang datang mengunjung dan putaran kamera video yang terus menggulung menyebabkan rencana jahat mereka tumpas di penghujung. Anwar telah dilarikan ke Ibupejabat Polis di Bukit Aman, di mana anggota pejabat Peguam Negara sudah lama menunggu ketibaannya. Ketua Polis Negara sudah diberitahu sejurus itu bahawa Anwar masih hidup bernyawa. Dia telah memberikan keyakinan untuk menangani masalah itu secara sendiri.

Setelah menyedari usaha membunuh itu gagal, Ketua Polis Negara (KPN/IGP) telah mengeluarkan arahan agar Anwar dikenakan ikatan pada matanya dan digari tangannya di sebuah kerusi. Dengan senyap, IGP menghampiri kamar tahanan, dan melancarkan serangan terhadap Anwar dengan ganas dan tanpa kasihan. Para pemerhati ada menyebut betapa dia sedang mabuk ketika itu. Setelah berpuashati bahawa serangan ganasnya itu sudah memadai untuk membawa mudarat kepada mangsanya, dia memberikan arahan agar Anwar dibiarkan bersendirian tanpa sebarang bantuan perubatan untuk beberapa hari lamanya. Namun, dia terkejut beruk apabila mengetahui Anwar masih bernyawa walaupun telah diganasi begitu teruk.

Anwar telah disorok daripada penglihatan ramai untuk dua minggu lamanya. Apabila masyarakat umum menyedari akan keadaan Anwar yang sudah lebam matanya, satu kebangkitan rakyat meledak secara spontan. Polis bukan sahaja kecundang dalam usaha mengakhiri nyawa Anwar, malahan mereka telah mengganasi beliau ketika dalam tahanan secara kejam. Tidak ada sesiapa yang mahu bertanggungjawab dengan pengaiban itu yang penuh onar, sehinggalah satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkanuntuk menyiasat kisahnya yang sebenar.

Apabila semua pegawai polis di Bukit Aman disoal-siasat, barulah kebenaran menyerlah untuk dilihat. Baru muncul kesedaran betapa desas-desus yang berlegar ada kisah yang benar. IGP yang melakukan kerja laknat untuk mencederakan Anwar. Si bedebah itu melepaskan jawatannya kerana sudah terpaksa. Ketika dihakimi dia merayu setelah mengaku bersalah. Tuannya ialah Mahathir yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri. Tetapi, Mahathir sendiri pura-pura tidak peduli akan perkara ini, sambil memberikan alasan betapa kecederaan Anwar itu adalah perbuatannya sendiri. Barulah timbul kesedaran spontan betapa Perdana Menteri adalah bedebah yang benar-benar bertanggungjawab dengan segala penderitaan Anwar. Inilah tanggapan umum sehingga hari ini. Demikianlah jijiknya hikayat ini pada awalannya dan apa yang berterusan selepas itu adalah satu sambungan yang tidak akan ada hentinya.

Segala usaha untuk mendakwa Anwar merupakan satu rentetan komidi yang penuh dengan kesilapannya. Ini melibatkan dua kes pengadilan dan beberapa kes rayuan yang menyusul kemudiannya. Anwar dan juga para peguambela beliau telah mematuhi segala peraturan mengenai bahan bukti, sambil memberikan jawapan dengan berkesan dan berani. Para hakim dan pendakwaraya yang bersekongkolan sesama mereka, telah menjadikan kedaulatan undang-undang negara sebagai bahan lelucon sahaja. Mereka telah melakonkan peranan badut negara, memutarbelit segala tahap perundangan mengikut selera semasa. Namun, dalam setiap penghakiman rayuan kes itu tidak ada hakim yang mendapati sesuatu yang tidak kena pada tempatnya. Usaha pihak pendakwa menyediakan affidavit yang penuh cacat celanya telah sengaja mereka bagaikan. Inilah yang bersesuaian dengan pegawai perundangan yang terbabit dalam kes ini diberikan ganjaran besar dengan jawatan yang lebih tinggi. Demikianlah tercetusnya segala unsur tragedy, terutama sekali dalam kes perubatan yang amat diperlukan oleh Anwar Ibrahim dan anggota keluarganya.

Rayuan kepada mahkamah Persekutuan, yang merupakan mahkamah terakhir untuk setiap rayuan, telah diumumkan pada Julai lalu. Semua pihak menentukan ketikanya dengan penuh keselesaan untuk membaca penghakiman yang bertulis pihak hakim-hakim yang bersekongkolan dalam mengetahui kesalahan Anwar. Mengikut para hakim yang dikatakan bijak sana, Anwar telah diberikan layanan yang saksama. Tidak wujud sebarang kesilapan di pihak hakim dan mahkamah rayuan. Demikian pendapat para hakim 'bijak sana Hapraknya'. Cuma ada sedikit cacat celanya, dan itulah yang mempunyai unsur yang ada masalahnya.

Kecelaruan kemelut itu dilihat oleh masyarakat umum seperti episod yang sengaja diumumkan. Semua itu adalah usaha bersahaja untuk menyalah-gunakan martabat dan kewibawaan mahkamah meneruskan ugutan dan rencana jijik Mahathir untuk mendakwa sesiapa sahaja yang enggan bersara setelah diarahkan berbuat demikian olehnya.Ironisnya terlalu jelas sekali kepada semua. Anwar memang bersalah dan Mahathir bersara sudah.

Adalah jelas betapa penghakiman itu bukannya hasil kerja mahkamah yang mengadili kes penghakiman mereka. Sesiapa yang memang peka kepada cara kerja tiga orang hakim mahkamah Persekutuan itu dapat menelah betapa penghakiman bertulis itu bukanlah hasil kerja-tangan mereka. Semuanya telah disediakan lebih awal lagi oleh seorang manusia yang mudah dikenali hasil kerjanya melalui fikiran mindanya dan kehaprakan tindakannya. Kini muncul satu persoalan yang menonjol: "Kenapakah tiga orang hakim itu merelakan kedurjanaan berlaku?" Inilah yang menjadi asas kenapa munculnya tulisan ini. Perdana menteri sedang dihantui satu dilemma, setelah tercetusnya satu situasi yang tidak dapat diselesaikannya lagi gara-gara ciptaannya sendiri. Biarlah ini menjadi satu iktibar kepada pihak lain yang berura-ura mahu menyimpang daripada lorong kebenaran dan ketelusan, setiap kali berhadapan dengan amanah rakyat. Anwar terpaksa diisytiharkan bersalah kerana mahu menjaga masa depan UMNO dan BN yang semakin parah. Seandainya Anwar dibebaskan daripada kurungan bersendirian, masa depan BN akan tertekan. Tetapi, Mahathir sudah ketandusan bahan rundingan kerana rakyat marhaen sudah tidak takut menghadapi segala ugutan.

Mahathir hanya mempunyai satu pilihan terakhir dengan menawarkan persaraannya. Semakin jelas betapa dia akan mundur dengan perasaan yang tersiksa. Dia tidak ada pilihan lain lagi dan ini adalah kebenaran yang asli. Rupanya dia sudah menawarkan perletakan jawatan itu sebagai galang ganti pengumuman 'bersalah' di pihak Anwar. Itulah yang dipersetujui oleh para hakim dengan berat hati. Tetapi sudah muncul satu persoalan lagi, apakah Mahathir masih boleh dipercayai. Sudah ada kesangsian betapa pertaruhannya melepaskan kuasa yang dirembatnya selama dua puluh tahun itu untuk mendapatkan penghukuman agar Anwar didapati bersalah adalah satu helah untuk menghambat masa untuk tidak mengaku kalah.

Semakin ramai yang percaya bahawa Mahathir tidak pernah berniat mahu bersara. Dia sudah menarik balik tawarannya, dan para hakim sudah semakin dihambat keraguan apakah mereka telah tertipu dan dimainkan. Hakim haprak itu sanggup menjual martabat mereka sebagai memenuhi syarat perjanjian yang kini merupakan kerja sia-sia. Inilah maksud sebenar kalau menyanggupi menjadi hakim di Malaysia masakini.

Jabatan Kehakiman yang sepatutnya bermaruah sudah tidak ada martabatnya lagi. Semua itu dikotori oleh najis buangan pentadbiran Mahathir. Semua itu telah mencemarkan jubah para hakim. Tidak ada sesiapa yang boleh merungut siapa sebenarnya yang durjana dengan kehaprakan begini. Seorang insan kamil sedang terpenjara kerana kedurjanaan penghakiman. Dia menanti secara menyendiri agar
kebenaran dan keadilan dapat bernafas kembali untuk menyegarkan rakyat Malaysia.

Segala penderitaan dan tragedi ini, mesti dipulihkan oleh kebangkitan rakyat yang menentangnya. Kebebasan lesen untuk terus berdurjana adalah direlakan oleh kebisuan, dan ketakutan. Sambil Anwar bersabar menunggukan masa, Malaysia semakin dihenyak oleh bebanan hutang yang bergunung tinggi dan asap berbisa yang semakin tebal sekali.

Semua keadaan itu diperhatikan sahaja oleh Daim Zainuddin yang lega dengan kekayaan berbilion ringgit nilainya. Dia sudah bersara awal sambil memerhatikan suasana di pinggiran, sambil berjaya menepis segala suluhan akan pembabitan dan tanggungjawabnya. Ramai yang menganggap bahawa Daim sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan yang akan menghambatnya.

Bahasa Inggeris : Apakah kita kehilangan kemerdekaan ?

( Dari Tranung Kite )

Kedudukan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan kini digugat lagi. Kali ini yang menggugatnya bukan dari kalangan etnik lain dalam masyarakat majmuk Malaysia ini.Sewaktu Bahasa Malaysia ingin didaulatkan sebagai bahasa pengantar bagi Sistem Pendidikan Negara, kaum bukan Melayu memberikan tentangan terbuka terhadap pelaksanaan dasar berkenaan. Pada fasa pertama penguatkuasaan itu, kaum Cina menentang dengan hebat sekali. Mereka menganggap dasar ini menyekat kebebasan mereka serta menggugat hak asasi kaum mereka sendiri. Pada masa Ordinan Pelajaran 1952 dibuat, prestasi Bahasa Melayu diletakkan pada tahap yang lebih tinggi, iaitu muncul sebagai bahasa pengantar yang kedua pentingnya. Apabila Ordinan Pelajaran 1957 dan Akta Pelajaran 1961 digubal, Bahasa Melayu akhirnya diterima sebagai bahasa pengantar pendidikan yang rasmi di negara ini. Semua parti-parti yang bergabung dalam Perikatan menerima dengan terbuka dasar ini. Hal ini mengingatkan kepada kita kedudukan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan 1957 dan Perlembagaan Malaysia 1963 terhadap Bahasa Melayu, iaitu sebagai Bahasa Kebangsaan di bawah perkara 152 dengan menyebutkan bahawa "Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen."

Namun setelah berbagai usaha dibuat untuk memantapkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan, kini timbul dari mulut Perdana Menteri sendiri bahawa Bahasa Inggeris akan dijadikan bahasa pengantar bagi subjek matematik dan sains di sekolah-sekolah dan akhirnya akan dilaksanakan di peringkat pengajian tinggi walau pun secara beransur-ansur. Sekiranya dasar tersebut dilaksanakan, Bahasa Inggeris akhirnya akan mengambil tempat lebih dari 70% bagi keseluruhan pengajian tinggi di peringkat IPTA. Hanya beberapa subjek sastera dan sains kemasyarakatan serta pengajian Islam sahaja yang tidak menerima pakai arahan ini. Ertinya dalam hal ini kita akan berbalik ke zaman sebelum merdeka, zaman sebelum Ordinan Pelajaran 1952, di mana bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi adalah Bahasa Inggeris.

Satu pertanyaan yang timbul di kepala kita ialah apakah Bahasa Malaysia tidak layak dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi? Apakah usaha-usaha yang telah dijalankan oleh para pejuang bahasa untuk memartabatkan Bahasa Malaysia sehingga diterima pakai di peringakat IPTA akan terbiar begitu sahaja? Apakah usaha-usaha yang memakan masa lebih empat puluh tahun itu akan menjadi sia-sia belaka? Satu pertanyaan lain yang mungkin berlegar di kepala kita ialah siapakah sebenarnya yang sedang memerintah kita? Melayukah? Inggeriskah? Umnokah? Atau siapakah sebenarnya petualang dalam hal ini? Mahathirkah? Bushkah? Atau dasar antikeganasan Amerika selepas sebelas Septemberkah? Bertalu-talu pertanyaan yang tanpa jawaban itu melanda pemikiran kita, untuk mencari jawaban siapakah sebenarnya di sebalik penguatkuasaan B.Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi subjek sains dan matematik ini?

Apa yang dapat kita rasakan kini ialah kita tidak merdeka lagi.Sekiranya dasar tersebut terus dilaksanakan tahun hadapan, tentunya kita adalah rakyat sebuah negara yang merdeka pada lahirnya sahaja, tetapi sebenarnya masih dijajah dan menggunakan bahasa penjajah dalam sistem pendidikan kita. Apakah negara-negara lain sedemikian? Apakah Indonesia memartabatkan kembali Bahasa Belanda setelah merdeka sekian lama. Apakah yang Jepun laksanakan dalam sistem pendidikan mereka.Bagaimana dengan Korea dan Taiwan? Seandainya Dasar Pandang Ke Timur masih relevan, mengapakah tidak mencontohi Jepun dalam perkara ini? Mengapakah penuntut-penuntut kita yang ingin belajar di Jepun terpaksa belajar Bahasa Jepun, tetapi tidak Bahasa Inggeris? Di manakah logiknya Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Ilmu? Dalam satu rancangan TV beberapa hari yang lepas, Mahadzir Mohd Khir menyatakan ini adalah satu perkara biasa terjadi apabila satu-satu ketamadunan itu dikuasai oleh sesuatu bangsa. Suatu waktu dulu di abad pertengahan katanya yang ketika itu menjadi tetamu Bicara Siswa yang dipengerusikan oleh Datuk Nordin Kardi, Mahadzir mengingatkan orang-orang Inggeris terpaksa belajar Bahasa Arab, kerana tamadun Islam yang tinggi ketika itu.Mereka menguasai Bahasa Arab untuk menguasai ilmu yang dikuasai oleh orang Arab yang Islam itu. Sebab itu kita perlu mempelajari Bahasa Inggeris, bahasa ilmu pada zaman IT ini. Itu logik Mahadzir Mohd Khir yang menjadi wakil kerajaan dalam rancangan itu.

Kalau kita boleh mengusulkan pertanyaan, kenapakah orang-orang Inggeris yang mempelajari Bahasa Arab itu tidak menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar bagi sekolah-sekolah mereka, tentu soalan itu akan ditepis oleh beliau. Namun itulah kenyataannya. Mereka hanya mempelajari ilmunya sahaja, tetapi tidak mengambil bahasanya sebagai bahasa utama bagi pendidikan. Jadi mengapakah atau apakah sebab sebenarnya Bahasa Inggeris tiba-tiba ingin dijadikan bahasa pengantar bagi subjek sains dan matematik di negara ini, di mana suatu hari bahasa itu akan menjadi lebih dominan daripada Bahasa Malaysia sendiri? Mengapakah orang-orang Cina melalui persatuan mereka Dong Jiao Zong membantah cadangan kerajaan ini? Di mana orang Melayu dalam Umno? Sedangkan anak-anak mereka juga turut terlibat dengan perubahan dasar ini?

Kita masih kurang jelas apakah agenda di sebalik penguatkuasaan Bahasa Inggeris ini. Samada ada arahan dari Amerika sewaktu Mahathir bertemu Bush dahulu tidaklah kita ketahui. Atau apakah ia turut dibincangkan dalam pertemuan Mahathir dengan Ketua Paderi di Vatican tidak berapa lama dahulu? Apa yang jelas Mahathir telah membuang satu persatu hak-hak dan keistimewaan orang-orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Perlembagaan seperti yang kita ketahui telah diterima oleh semua kaum di negara ini sebagai sumber undang-undang negara. Jika Perlembagaan ditolak ke belakang apakah yang menjadi sumber kepada undang-undang di negara ini? Kalau YDP Agong sendiri sudah kehilangan sebahagian imunitinya, siapakah yang paling layak untuk menentukan perjalanan undang-undang di negara ini? Kalau Kanun Jenayah Syariah Kelantan II ditolak sebagai sumber perundangan, begitu juga dengan Hudud Terengganu 2002, apakah lagi sumber undang-undang kita kalau bukan hawa nafsu seorang Perdana Menteri yang sudah hampir mati, yang hanya membilang hari menanti hari-hari terakhirnya. Agaknya itulah kesimpulan yang dapat kita buat setakat ini berhubung dengan pelaksanaan B.Inggeris ini di sekolah-sekolah di negara kita. Kalau bukan begitu, apa lagi?

Hakcipta Terpelihara PAS Kawasan Ampang Jaya 2002