Make your own free website on Tripod.com

TAKTIK PENCETUS PROVOKASI TERBONGKAR
DAN SANDIWARA KEMASUKAN AHLI-AHLI
BARU UMNO AMPANG JAYA


Pada 8 April 2001 Berita Jam 8.00 malam RTM1 telah menyiarkan laporan kononnya bekas ahli-ahli Barisan Alternatif ( BA ) telah menyampaikan permohonan untuk menyertai UMNO kepada Menteri Besar Selangor dengan disaksikan oleh Ketua UMNO Bahagian Ampang Jaya.

Menurut laporan tersebut seramai 103 orang bekas ahli BA telah menyertai UMNO tetapi sehingga setakat ini nama-nama mereka itu gagal diumumkan oleh UMNO Bahagian Ampang Jaya. Sekali lagi sepertimana lazimnya bagi UMNO mereka hanya sekadar mengumumkan jumlah yang menyertainya tetapi mereka ini sebenarnya adalah "hantu-hantu" yang tidak wujud ataupun sememangnya ahli-ahli UMNO yang berlakon di dalam satu sandiwara.

Laporan berita pada malam itu telah menemuramah dua orang individu yang kononya bekas ahli BA malah salah seorang dari mereka didakwa memegang jawatan yang tinggi. Walau bagaimanapun menurut semakan PAS dan KeAdilan mereka ini dikenalpasti bukan ahli BA dan tidak pernah memegang apa-apa jawatan di dalam mana-mana parti BA.

Kami juga difahamkan gambar salah seorang dari mereka pernah disiarkan di dalam akhbar-akhbar tempatan ketika sedang "membelasah" seorang anggota Polis di perhimpunan aman Jalan Kebun, Kelang tahun lepas. Dan yang paling aneh individu ini tidak pernah ditangkap sepertimana mereka yang gambar-gambarnya pernah tersiar di dalam akhbar-akhbar tempatan kerana hadir di perhimpunan-perhimpunan menuntut keadilan. Sepatutnya beliaulah yang pertama ditangkap kerana bertindak ganas.

Dengan itu rakyat sudah tentu dapat merumuskan bahawa individu ini telah "dihantar" oleh "pihak-pihak tertentu" untuk memburuk-burukkkan BA dengan cara-cara berikut :

  1. Bertindak-ganas di Jalan Kebun dengan membelasah anggota Polis sehingga gambarnya dapat dirakamkan supaya BA dapat dituduh sebagai pencetus rusuhan dan sekali-gus menghalalkan penindasan dan kezaliman ke atas pemimpin, ahli dan penyokong BA yang kononnya hendak menggulingkan kerajaan dengan cara-cara bertentangan dengan Perlembagaan.

  1. Mengaku sebagai ahli BA dan bertindak kononnya telah keluar parti dan menyertai UMNO agar untuk memberi gambaran bahawa UMNO yang sudah tenat itu masih mendapat sokongan rakyat.

Maka dengan itu kami menggesa rakyat supaya berhati-hati dengan taktik-taktik sedemikan yang merupakan usaha-usaha akhir sebuah Parti yang menunggu saat-saat untuk ditalqinkan.

Kepada UMNO Bahagian Ampang Jaya kami sarankan supaya lupakanlah serangan terhadap BA tetapi selesaikanlah masaalah dalaman mereka. Rakyat sudah sedia-maklum akan percakaran di kalangan mereka sehingga telah tersebar surat-surat layang yang mendakwa bahawa Persidangan Perwakilan tahun ini tidak sah kerana telah berlaku amalan rasuah, ugutan dan salahguna-kuasa.


ISKANDAR ABDUL SAMAD
SETIAUSAHA PAS
KAWASAN AMPANG JAYA
18 Muharram 1422 / 12 April 2001

KEMBALI KE MENU UTAMA >>>>>>