Make your own free website on Tripod.com

Laman Web PAS Kawasan Ampang Jaya ( http:\\members.tripod.com\pas2000 )


BACUL DAN HINANYA UMNO
BAHAGIAN AMPANG JAYA


Cubaan menggagalkan ceramah dalaman PAS Kawasan Ampang Jaya di Taman Maju Jaya pada 5 Mei 2001 membuktikan betapa bacul dan hinanya UMNO Bahagian Ampang Jaya.

Dua orang penceramah, YB Zulkarnain Ahmad dari PAS dan YB Mohd. Azmin Ali dari KeAdilan telah dijadualkan memberi taklimat isu semasa kepada ahli-ahli dan penyokong-penyokong BA di dalam sebuah dewan di taman itu yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah ADUN BN Lembah Jaya.

Orang-ramai telah dikejutkan dengan kehadiran hampir 300 anggota Polis termasuk mereka yang lengkap dengan gas pemedih mata sejak jam 5.00 petang lagi. Selain dari itu pihak Polis telah mengadakan sekurang-kurangnya 4 sekatan jalanraya di jalan-jalan ke arah dewan tersebut di dalam usaha untuk menghalang ahli-ahli dan penyokong-penyokong BA dari menghadiri taklimat malam itu. Taman Maju Jaya telah di kepung seolah-olah sedang berlaku satu peperangan atau rusuhan yang besar.

Hampir 2000 ahli-ahli dan penyokong-penyokong BA telah terpaksa melalui pelbagai rintangan dan halangan untuk menghadiri taklimat tersebut. Dan walaupun pihak penganjur telah akur dengan nasihat Polis supaya majlis taklimat itu ditamatkan pada jam 11.00 malam namun kedua-dua penceramah yang hadir telah dapat menyampaikan taklimat-taklimat mereka tanpa sebarang insiden. Maka dengan itu satu lagi usaha UMNO dan BN untuk mengagalkan program BA di Ampang Jaya telah berakhir dengan kekecewaan.

Beginilah keadaan UMNO di Ampang Jaya yang sekarang ini dilanda pelbagai masaalah dalaman dan dengan itu perlu mengalihkan perhatian rakyat dari masaalah-masaalah yang mereka hadapi dengan menyerang BA. Program-program UMNO di peringkat Bahagian dan Cawangan termasuk yang dihadiri oleh Menteri Besar Selangor  tidak mendapat sambutan masyarakat. Mesyuarat agong sebuah cawangan UMNO di Lembah Jaya Timur diberitakan dihadiri oleh pendatang-pendatang asing untuk mencukupkan  kehadiran.

Khabar-khabar angin tentang kesihatan Ketua Bahagian yang diberitakan pernah dimasukkan ke dalam ICU di dalam keadaan tenat dan terpaksa menjalani rawatan cucian buah pinggang dua kali seminggu mengakibatkan berlaku pergeseran di antara pemimpin-pemimpin Bahagian yang mimpikan jawatan tersebut.

Rakyat juga tahu bagaimana telah tersebar luas surat-surat yang mendakwa berlaku penyalahgunaan-kuasa, rasuah dan ugutan di dalam pemilihan Ketua Bahagian baru-baru ini. Dan rakyat berharap agar UMNO Bahagian Ampang Jaya supaya lebih "gentlemen" dengan tidak mengacau program-program PAS dan BA tetapi menumpukan usaha untuk menyelesaikan masaalah-masaalah dalaman yang mereka hadapi.

Rakyat juga mendesak agar tidak berlaku "double-standard" di dalam penguatkuasaan undang-undang dan BA diberikan peluang yang sama seperti BN untuk menganjurkan program-program dan taklimat-taklimat penerangan sama ada dalaman atau luaran. Buat masa ini UMNO dan BN bebas menganjurkan ceramah-ceramah mereka tetapi BA dibelenggu oleh pelbagai peraturan dan sekatan.

Iskandar Abdul Samad
Timbalan Yang Di Pertua PAS
Kawasan Ampang Jaya
12 Safar 1422 / 6 Mei 2001




"Sila download dan edar"

KEMBALI KE MENU UTAMA >>>>>>