|
Sebagai aktivis Suaram, Pak Din tidaklah ditangkap walau berada dalam kumpulan perhimpunan reformasi dan politik pembangkang. Namun, di peringkat awal beliau pernah ditahan dan dibelasah polis sehingga bengkak mata kanannya.
Waktu itu, Pak Din ditahan bersama adiknya dan foto kecederaan itu terpampang di muka depan sebuah akhbar harian utama beberapa hari selepas 24 Oktober 1998 - hari beliau ditangkap di Kampung Baru dan kemudiannya ditahan di Pulapol (Pusat Latihan Polis), Kuala Lumpur.
Selain bersama reformis, wartawan (termasuk Malaysiakini.com) dan aktivis pembangkang, Pak Din tidak keberatan menghulurkan bantuan kepada atau setidak-tidaknya menjenguk serta bertanya khabar mangsa-mangsa bencana alam. Pendek kata beliau berada di semua tempat! Dan Pak Din melakukan semua itu atas daya usaha sendiri tanpa dorongan atau peruntukan wang sebarang organisasi. Ketika Pak Din bersama kami memantau orang awam - khususnya penyokong reformasi - yang ditahan polis dan mengesan mereka di balai-balai polis di sekitar Kuala Lumpur, gayanya memimpin lantang dan tegas tetapi terbuka dan prihatin. Kehilangannya kini sungguh terasa. Sehingga ke hari ini, sudah dua minggu Pak Din ditahan dan kami masih tertanya-tanya justifikasi kerajaan mengurungnya di bawah ISA. Seorang tua (jika dibandingkan kami yang muda-muda) dan berjasa kepada orang ramai kini terpenjara akibat kegiatannya itu. Bagi kami, penahanannya di bawah akta zalim itu sebagai ulangan detik-detik hitam dalam sejarah pencabulan hak asasi manusia di Malaysia. Cuma kali ini ISA membungkus seorang aktivis hak asasi itu sendiri (tahanan-tahanan lain terdiri daripada ahli politik, aktivis masyarakat dan penulis).
SAIFUL LIZAN pernah bertugas bersama Pak Din dalam 'kumpulan pemantau' bagi mengesan tangkapan polis dan membantu keluarga tahanan-tahanan perhimpunan aman menguruskan khidmat guaman serta ikat jamin. ( Ihsan Malaysiakini )
"Sila download dan edar"
KEMBALI KE MENU UTAMA >>>>>>
|
|