( Sambungan dari muka 2 )

Wakil-wakil dari PAS telah berhujjah bahawa walaupun Mahkamah telah membuat keputusan namun keputusan untuk merempuh ke dalam kampung tersebut adalah di tangan pihak Polis. Dan menurutnya pihak Polis perlu menggunakan "common sense" dan sekiranya meneruskan operasi meroboh itu akan menyebabkan perkara-perkara yang tidak diingini maka ianya tidak seharusnya diteruskan.

Sepanjang perbincangan tersebut Balif Mahkamah kelihatan begitu berkeras menggesa agar operasi meroboh diteruskan walaupun apa akibatnya. Wakil-wakil dari PAS telah bertanya kepada seorang Balif yang hanya dikenali sebagai Baharuddin adakah perobohan ini perlu diteruskan jika ianya akan mengakibatkan kecederaan dan kematian ? Menurut Balif tersebut perintah mesti dijalankan.   

Juga jelas kelihatan wakil-wakil Mahkamah lebih bersungguh-sungguh dari wakil-wakil pemaju untuk merobohkan rumah-rumah di Bukit Tembusu. Walau bagaimanapun pihak Polis yang diketuai oleh OCPD Hulu Langat ACP Haji Zakaria Abdul Hamid nampaknya lebih rasional dan profesional.

Akhirnya setelah beberapa perbincangan dan panggilan-panggilan telefon maka operasi meroboh pada hari itu telah ditangguhkan. Pihak Polis dan pemaju telah meninggalkan kampung tersebut mulai jam 11.30 pagi.

Walau bagaimanapun penduduk Bukit Tembusu masih belum lagi dapat tidur dengan lena. Pemaju tetap akan kembali. Di manakah penduduk kampung akan pergi sekiranya rumah mereka dirobohkan ?

Penduduk Bukit Tembusu terdiri dari orang-orang Melayu beragama Islam. Dan kita tahu siapakah pemaju yang terbabit. Maka benarlah jangkaan pemimpin-pemimpin Melayu di tahun-tahun 20-an dan 30-an bahawa orang Melayu akan satu hari menjadi "Red Indian" seperti di Amerika. Seperti kaum "Red Indian",  kaum pribumi di Malaysia juga dihalau dan dihambat dari rumah-rumah mereka. Tanah yang mereka bangunkan sejak bertahun-tahun akan dengan biadapnya dirampas dari mereka tanpa sebarang pampasan atau gantirugi. Dan di atas tapak tanah mereka akan dibangunkan bangunan-bangunan dan rumah-rumah yang tidak akan mampu dibeli oleh mereka atau mereka yang sebangsa atau seugama dengan mereka.

Semasa Dato' Harun menjadi Menteri Besar Negeri Selangor orang Melayu telah digalakkan untuk berpindah ke Lembah Kelang. Maka setelah peristiwa hitam 13 Mei orang-orang Melayu telah berhijrah beramai-ramai ke Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan di sekitarnya. Tetapi tiga-puluh tahun kemudian orang-orang Melayu dihalau dan disapu keluar dari Lembah Kelang secara sistematik.

( Dilaporkan oleh
Wartawan Bebas untuk https://members.tripod.com/pas2000 pada 25 Jun 2000 )

( Click untuk gambar-gambar )